Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia mengamalkan kedaulatan undang-undang dan akan menghukum sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan.
Justeru itu, beliau berkata, hasil siasatan 1MDB sepatutnya didedahkan untuk mengetahui siapa yang bersalah berhubung dakwaan skandal kewangan tersebut.
Sehubungan itu, katanya, sesiapa yang didapati bersalah tidak akan terlepas daripada hukuman yang termaktub dalam undang-undang.
"Macam 1MDB, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dah siasat, Bank Negara dah siasat, polis dah siasat, peguam negara sepatutnya dah selesai (siasat).
“Kalau semua dah siasat kita tengok siapa salah.
"Kalau ada orang yang salah, beritahu (sama ada) orang itu salah atau tak. Kalau dia salah mesti ada penjara, hukuman. Malaysia negara yang ikut kedaulatan undang-undang.
"Kalau curi wang pun kena tangkap, curi ayam pun kena tangkap. Semua orang buat jahat kena tangkap. Tak boleh biar," katanya sambil mendapat tepukan kira-kira 100 orang hadirin.
Timbalan presiden Umno itu berkata demikian dalam majlis perjumpaan bersama masyarakat Cina di Parlimen Pagoh hari ini.