Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tanggapan bahawa perhimpuan baju merah esok adalah untuk mempertahankan orang Melayu atau pun BERSIH 4 adalah rasis.
"BERSIH 4 bukan rasis, semua bangsa ada bersama.
"Jadi (baju merah) nak jadikan perhimpunan BERSIH ni rasis supaya kononnya mereka berjuang untuk orang Melayu.
"(Tetapi) mereka tidak berjuang untuk orang Melayu. Tak payahlah ada (perhimpunan)," kata Dr Mahathir kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Kumpulan Baju Merah, dipimpin oleh Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos akan menyertai Himpunan Rakyat Bersatu di Padang Merbok, Kuala Lumpur esok.
Perhimpunan itu pada mulanya dikenali sebagai Himpunan Maruah Melayu sebelum penganjurnya, kumpulan silat PESAKA, memberitahu media bahawa ia untuk semua rakyat Malaysia.
Perhimpunan esok dirancang sebagai reaksi kepada BERSIH 4 pada penghujung bulan lalu yang mendapat sokongan meluas tetapi dikaitkan media arus perdana dan pemimpin kerajaan dengan dominasi Cina dan DAP.
Isu gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipijak dalam perhimpunan itu juga dibangkitkan meluas sebelum ini.
Mahathir hadir dalam kedua-dua hari perhimpunan itu bagi menyatakan bantahannya kepada pentadbiran Najib yang sedang terasak dengan pelbagai dakwaan.