PKR hari ini mengekalkan pendirian mereka untuk mengajak PAS menyertai gabungan baru pembangkang selepas Pakatan Rakyat berkubur beberapa bulan lalu.
Menjelaskan perkara itu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata partinya sentiasa mengalu-alukan semua kumpulan yang sependapat untuk menghadapi BN di negara ini.
"Kita mengalu-alukan semua orang. Bukan PAS saja, (malah) AMANAH (Parti Amanah Nasional) juga. Kalau kumpulan dari Sabah dan Sarawak mahu menyertai, juga diterima," katanya kepada media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.
Sebelum ini Pakatan Rakyat dianggotai tiga parti utama iaitu PKR, PAS dan DAP namun gabungan itu gagal bertahan apabila berlaku perselisihan pendapat antara DAP dan PAS.
Konflik dalaman PAS juga menjadi kronik apabila kumpulan progresif yang beraliran sederhana dalam parti berkenaan disingkirkan secara pukal dalam pemilihan muktamar Jun lalu.
Sebahagian besar kumpulan progresif PAS kemudian menyertai Gerakan Harapan Baru sebelum menubuhkan AMANAH.
Sesetengah pemimpin AMANAH - serta DAP - berpendapat gagasan baru pembangkang sepatutnya tidak disertai PAS.
PKR bagaimanapun berpendapat sebaliknya.
Dr Wan Azizah berkata, proses perbincangan bagi merealisasikan gabungan baru pembangkang sedang berlangsung sekarang.
"Perbincangan dijalankan dengan PAS, DAP dan AMANAH berjalan.
“Kita perlu matang dalam melaksanakan proses ini, terutama membabitkan aspek politik," katanya.
Hormati pandangan Hadi
Mengenai Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menolak menyertai gabungan baru pembangkang, Dr Wan Azizah berkata beliau menghormati pendapat Presiden PAS itu.
"Ustaz Hadi boleh berkata demikian kerana itu adalah pendapat dia, kita menghormati (pendapat itu)," katanya.
Di sidang media sama Dr Wan Azizah turut menafikan kekurangan masyarakat Melayu menyertai BERSIH 4 hujung bulan lalu adalah isyarat yang menunjukkan mereka mahu PAS menyertai gabungan pembangkang.
"Tidak, tidak, tidak. BERSIH adalah perkara lain. Ia tiada kaitan dengan kaum," katanya.
Sementara itu pemimpin Gerakan Harapan Baru dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad pula berkata untuk menghadapi BN pembangkang perlu membentuk gabungan baru dengan baik.
Namun sama ada gabungan itu boleh bekerjasama dengan PAS, Khalid cuma berkata: "Kita harap, boleh."
"Apa yang kita persetujui adalah perlunya ada gabungan baru. Kita tidak menafikan kekuatan PAS dan mereka ada sokongan sendiri, tapi kita perlu gabungkan semua sokongan untuk menjatuhkan BN," katanya.