Selepas dituduh perkauman, pemimpin akar umbi Umno Datuk Jamal Md Yunos mempelawa kaum Cina dan India turut serta dalam "Perhimpunan Rakyat Bersatu" pada 16 September ini.
"Ini perhimpunan orang Melayu dan kami mempelawa Cina dan India yang bersefahaman dengan pendapat kami untuk turut serta,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di perkarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi sebentar tadi.
"Tapi nak turun jangan pakai baju kuning," katanya ringkas sebelum berlalu untuk memberi keterangan kepada pihak polis.
Perhimpunan 16 September ini sebagai reaksi kepada himpunan BERSIH 4 yang mendesak pengunduran perdana menteri pada hujung bulan lalu.
Perhimpunan itu, yang menggunakan tema baju kuning, dikaitkan pemimpin kerajaan dan media arus perdana dengan dominasi Cina dan DAP.
Sepuluh gabungan NGO Melayu hari ini dipanggil ke IPD itu berhubung penganjuran perhimpunan yang dirujuk sebagai “Baju Merah” pada Hari Malaysia ini.
Jamal tiba di IPD Dang Wangi sekitar jam 11.00 pagi.
Jamal, yang menggunakan platform Gabungan NGO-NGO Melayu, antara pihak yang kuat mempromosikan perhimpunan itu.
Penganjurnya, Persatuan Seni Silat Kebangsaan (PESAKA) setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.
Baju Merah mahu berhimpun di Jalan Petaling dan Bukit Bintang – dua kawasan perniagaan yang dikuasai golongan bukan Melayu.
Pertemuan 2 jam dengan polis
Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang ditemui selepas lebih dua jam berada dalam balai polis itu berkata kehadirannya hari ini hanyalah untuk sesi penerangan.
Malah, Megat berkata pertemuan pihaknya dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berlangsung dengan baik dan lancar.
Perkembangan lanjut akan diumumkan dalam sidang media selepas ini.