Hasil mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam dilihat memberi manfaat jangka panjang kepada Tan Sri Muhyidin Yassin, yang hanya perlu menunggu saat sesuai melancarkan serangan.
Penganalisis politik Wong Chin Huat percaya “gencatan senjata” antara pemimpin nombor satu dan nombor dua Umno itu tidak akan bertahan lama, jika muncul lebih banyak dakwaan skandal melibatkan Najib.
“Mereka tunggu lebih banyak durian jatuh ke kepala Najib [...] Mereka boleh kata bukan kami tidak sayang Najib, tetapi kami lebih sayangkan parti,” katanya.
Wong juga berkata keputusan semalam dicapai mungkin kerana kedua-dua pihak Najib atau Muhyiddin sebenarnya tiada kekuatan untuk menolak antara satu sama lain.
MT Umno semalam, yang pertama sejak Muhyiddin disingkirkan daripada jawatan timbalan perdana menteri, berlangsung tanpa pemecatan, seperti dispekulasi meluas sejak awal minggu ini.
Bagaimanapun, kebimbangan itu membuatkan sekumpulan Muhyiddin berkumpul di bangunan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.
Muhyiddin bagaimanapun kelihatan bergambar mesra dengan Presiden Umno Datuk Seri Najib dan Naib Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi yang dipilih menggantikan tempatnya sebagai timbalan perdana menteri.
Beliau malah mengisytiharkan kesetiaannya dengan mengaku seorang “Umno totok”.
Sapu bawah permaidani
Sementara itu, Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan pula berbeza pendapat dengan Wong.
Katanya, perkembangan semalam mungkin tidak baik untuk masa depan politik Muhyiddin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal.
“Kekal diam boleh buatkan orang fikir ia cubaan untuk menyapu ke bawah permaidani.
“Paling buruk jika orang ramai mula menuduh salah seorang daripada mereka sebenarnya terlibat dan oleh sebab itu mereka berhenti merungut,” katanya.
Penganalisis James Chin pula percaya Muhyiddin dan Shafie boleh menarik nafas lega, tetapi hanya buat sementara waktu.
“Mereka (Najib dan Zahid) hanya melengah-lengahkan masa. Najib dan Zahid harus kerja lebih keras untuk singkirkan mereka berdua,” katanya.