Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kenaikan lulus, gaji MB T'ganu kini RM30,000 sebulan

Yang Dipertua Dewan, Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri Terengganu akan menerima kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Jan tahun ini.

Ini susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bersidang hari ini meluluskan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2015.

Ketika ditemui pemberita selepas persidangan DUN di Kuala Terengganu, Selasa, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kenaikan itu sejajar dengan kenaikan gaji Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini.

Beliau berkata dengan lulusnya enakmen tersebut Menteri Besar kini menerima gaji RM30,000 sebulan berbanding RM14,000 sebelum ini manakala Yang Dipertua Dewan dan Exco akan menerima gaji RM14,000 sebulan berbanding RM6,100 sebelum ini.

Menurutnya kenaikan gaji itu adalah munasabah kerana setiap Menteri Besar, Exco dan Yang Dipertua Dewan tidak menerima kenaikan gaji tahunan selain tidak berpeluang mendapat bonus seperti penjawat awam yang lain.

"Kenaikan ini juga akan dinikmati bekas Exco, bekas Menteri Besar dan bekas Yang Dipertua Dewan, (ini kerana) pencen (minimum 72 bulan) akan mengguna pakai gaji hari ini sebab ada sesetengah Exco menerima pencen RM3,000 sahaja, ini tidak munasabah," kata Menteri Besar.

Pada 14 Mei lepas, sidang DUN Terengganu meluluskan kenaikan tangga gaji baharu kepada ADUN setaraf dengan gaji pegawai kerajaan Gred 54.

Kesemua 32 ADUN kini menerima gaji RM11,000 sebulan berbanding RM4,112 sebelum ini yang setaraf dengan pegawai kerajaan Gred 44.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS