Datuk Rizal Mansor, menafikan dakwaan bahawa isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri "mesyuarat tergempar" seperti yang didakwa bekas timbalan pengarah Cawangan Khas polis Datuk Abdul Hamid Bador.
Rizal berkata, dakwaan bahawa Rosmah menghadiri mesyuarat sedemikian adalah mengarut.
"Mengarut Datin Seri hadir dalam mesyuarat sedemikian," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .
Rizal berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada Rosmah menghadiri "mesyuarat tergempar" seperti yang didakwa Abdul Hamid.
Semalam, dalam kenyataan medianya, Abdul Hamid bertanya kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sama ada pertukarannya ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibuat dalam " mesyuarat tergempar " yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Abdul Hamid turut mendakwa, selain Najib, Rosmah, Zahid dan beberapa pegawai tinggi kerajaan yang lain turut hadir dalam mesyuarat tersebut.