Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya dan rakan-rakan dari Parti Amanah Negara sesungguhnya amat gembira dan terharu dengan sikap yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan sokongan yang padu kepada wujudnya parti Islam baru ini.

Perkara ini dinyatakan dalam perutusan beliau dari penjara Sungai Buloh bertarikh 1 September 2015.

Sudah tentu perutusan Anwar memberi suntikan baru kepada parti islam baru yang kami tubuhkan ini kerana semua tahu beliau adalah satu tokoh dan nama besar dalam politik negara ini.

Anwar telah membawa satu reformasi politik yang menakjubkan kepada rakyat negara ini dan sekali gus mengubah landskap politik negara ini.

Amat malang kerana politik balas dendam, kotor dan jijik BN, kebangkitan rakyat ini dihalang daripada terus dipimpin oleh Anwar.

Namun jiwa, semangat dan roh perjuangan beliau tidak mampu BN penjarakan dan ia terus menyalakan obor perjuangan bagi menentang kebobrokan dan salah guna kuasa BN.

Semasa kami berada dalam PAS dan semasa PAS masih berada dalam Pakatan Rakyat, kami tidak pernah sangsi dan ragu dengan kemampuan Anwar menerajui gabungan part ini.

Meskipun wujud elemen tertentu dalam PAS cuba menyemai keraguan terhadap kepimpinan beliau pada waktu tertentu, kami yakin keraguan itu tidak berasas sama sekali.

Dinyahkan dari PAS

Saya sendiri telah menulis, berceramah, berforum, berdemo dan melakukan banyak lagi perkara bagi mempertahankan Anwar apabila bekas timbalan perdana menteri itu diperlakukan secara kejam dan brutal oleh rejim BN.

Saya pohon pada Allah dari sifat riak namun sejarah boleh membuktikan di Parlimen banyak kali saya bersuara menentang kezaliman Umno/BN ke atas DSAI hingga saya dan kawan-kawan digelar oleh parti sendiri sebagai Anwarinas dan pelbagai label lagi.

Saya dan kawan-kawan juga sanggup dilabel, difitnah dan dicerca oleh rakan-rakan sejemaah atau parti sendiri kerana bersuara lantang mempertahankan Anwar, sahabat-sahabat PKR dan DAP demi menjaga kelangsungan Pakatan Rakyat.

Ianya berakhir apabila kami semua dinyahkan secara hina daripada saf kepimpinan PAS dalam muktamar yang lalu.

Pokoknya kami telah lakukan apa sahaja di dalam dan luar parti bagi mempertahankan Pakatan. Namun gelombang dalam PAS yang mahukan elemen dalam parti yang pertahankan PR dinyahkan amat kuat.

Malangnya, gelombang ini juga disokong oleh pemimpin yang duduk di peringkat tertinggi PAS sendiri.

Apa yang boleh saya simpulkan, usaha untuk mencetuskan Harapan Baru, yang seterusnya mencetuskan pula Parti Amanah Negara, dilakukan atas penuh kesedaran bahawa PAS tidak benar-benar menghayati tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR dalam wadah Pakatan.

Malah PAS sebenarnya tidak begitu selesa kerana merasakan tidak dapat atau mampu mendominasi Pakatan. Sedangkan bagi kami, isu mendominasi tidak seharusnya wujud dalam Pakatan kerana "we are equal partners (rakan kongsi yang setara).

Reput bersama PAS

Ini bermakna, jika sekalipun Parti Amanah Rakyat tidak wujud dan andai kata Pakatan masih wujud antara PAS, PKR dan DAP, kewujudan Pakatan itu bukan sahaja tidak akan memberi nilai tambah dalam pilihan raya umum akan datang, malah saya berani katakan bahawa Pakatan akan reput dengan gaya dan stail politik PAS.

Kesannya, rakyat bukan sahaja akan menghukum PAS, malah DAP dan PKR juga akan dihukum bersama.

Bertolak dari situ, kami percaya sekiranya Pakatan baru atau Pakatan Rakyat 2.0 ingin diwujudkan semula, maka parti parti yang membentuk komposisi baru itu perlu menghayati prinsip prinsip dan pendirian pendirian bersama yang telah diputuskan secara konsensus.

Pakatan yang baru ini mesti memfokuskan kehendak rakyat dan bukan kehendak parti yang menganggotainya. Apa yang lebih penting, segala keputusan yang diambil mestilah dibuat secara konsensus dan tiada mana-mana parti yang cuba mendominasinya.

Atas kebesaran jiwanya dan sikap keterbukaanynya, Anwar menyeru supaya permuafakatan politik yang baru hendaklah merangkumi PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan PAS.

Kita semua tahu bagaimana sikap PAS terhadap Anwar dan PKR seperti dalam isu kerusi DUN Kota Damansara dan DUN Sungai Acheh, isu pelantikan MB Selangor, isu kritikan Presiden PAS atas Datin Seri Wan Azizah, isu PAS memboikot pilihan raya kecil Permatang Pauh dan banyak lagi.

Namun Anwar masih mampu menunjukkan jiwa besarnya terhadap PAS. Malangnya PAS dalam program tertutup masih terus menyalahkan Anwar khususnya dalam isu Kajang Move.

Apa pun, dengan penuh hormat kepada Anwar, saya dengan rendah diri memohon berbeza pendapat dengan beliau dalam soal keperluan melibatkan PAS dalam permuafakatan baru politik pembangkang.

Saya tidak yakin permuafakatan politik baru yang melibatkan PKR, DAP , PARTI AMANAH NEGARA dan PAS akan wujud. Saya tidak pernah berdendam atau benci dengan PAS, namun saya percaya kita harus realistik.

Maka saya penuh yakin, dengan mengambil kira realiti politik sekarang, kedudukan PAS dalam permuafakatan politik baru atau Pakatan yang baru untuk tidak akan menguntungkan mana-mana parti.

Bagi saya dengan sikap, gaya politik dan stail saf kepimpinan Pas yang ada sekarang saya tidak rasa PAS adalah aset kepada Pakatan.

Biarlah PAS kekal solo

Dengan penuh hormat saya katakan, gaya dan stail politik PAS bukan gaya dan stail politik berkawan sebaliknya ia stail politik "lone ranger".

Kenyataan ramai pimpinan PAS adalah jelas, parti itu tidak kisah menang atau kalah pilihan raya jadi bagaimanakah untuk tubuhkan satu pakatan politik yang ingin memenangi pilihan raya jika ada parti dalam komponen itu tidak kisah menang atau kalah pilihan raya?

Saya juga tidak nampak bagaimana DAP boleh menerima PAS dalam Pakatan yang baru, setelah apa yang DAP rasai sebelum ini. Saya juga tidak nampak bagaimanakah pengundi bukan Islam boleh menyokong Pakatan yang baru jika PAS masih kekal di dalamnya.

Pendirian PAS dalam BERSIH 4, pada hemat saya, menjadi suatu testimoni baru kepada rakyat bukan Islam untuk terus menolak parti tersebut. Lalu, apakah jaminan mereka tidak akan menolak Pakatan yang baru jika jika PAS berada di dalamnya.

Ya, benar bahawa Pakatan yang baru ini perlukan lonjakan beberapa peratus lagi undi Melayu bagi mendapat kuasa di Putrajaya. Ini berdasarkan andaian bahawa sokongan pengundi bukan Islam khususnya Cina akan kekal menyokong Pakatan.

Maka mungkin atas dasar itu ada yang melihat bahawa PAS perlu dilibatkan dalam Pakatan baru ini kerana secara tradisi, PAS disokong oleh orang Melayu dan bertanding di banyak kerusi bermajoriti orang Melayu.

Hakikatnya, PAS banyak menang di kerusi yang campuran kerusi Melayu dan bukan Melayu kecuali di negeri Kelantan. Di kerusi yang majoritinya orang Melayu, calon PAS masih sukar untuk menang.

Justeru, jika PAS dilibatkan dalam Pakatan baru dan turut bertanding di kerusi yang jumlah peratusan pengundi bukan Melayunya agak besar, maka di atas kertas, ia sudahpun tewas ekoran sikap pengundi bukan Melayu yang jelas ke atas PAS.

Namun, yang lebih membimbangkan, kerusi kerusi DAP dan PKR juga akan menerima kesan yang besar melalui hukuman yang pengundi bukan Melayu kenakan kerana melibatkan PAS dalam Pakatan yang baru.

Saya menyimpulkan bahawa Pakatan yang baru ini hanya akan berdaya maju tanpa PAS, dan hanya meliputi PKR, DAP dan Parti Amanah Rakyat sahaja. Biarlah PAS dengan politik solonya dan tidak diganggu untuk membawa agenda solonya secara solo .

Maaf, Anwar dan sahabat dalam PKR yang saya amat sayangi, saya mohon berbeza pandangan.


MOHAMED HANIPA MAIDIN salah seorang anggota jawatankuasa penganjur Parti Amanah Negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS