Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap penganjur perhimpunan BERSIH 4 apabila mendapati ada peserta demonstrasi itu memijak gambar presiden mereka dan Datuk Seri Najib Razak.

Laporan itu dibuat pesuruhjayanya, Mohamad Noor Mohamad di Balai Polis Dang Wangi jam 11.30 pagi tadi.

Sambil menggesa polis menjalankan siasatan terhadap insiden itu, Mohamad Noor juga menuntut pihak yang terlibat meminta maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan "seluruh rakyat Malaysia".

“Saya minta polis jalankan siasatan dan perkara ini boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya mereka yang terlibat tampil memohon maaf secara terbuka,” katanya.

Hadi naib presiden ulama dunia

Semalam pengguna Internet menggunakan media sosial untuk menyebarkan gambar seorang peserta BERSIH 4 memijak gambar Abdul Hadi yang diubah suai berada dalam keadaan berpelukan dengan perdana menteri.

Mohamad Noor juga menyatakan gambar tersebut dimanipulasikan kerana sebelum ini belum pernah ada imej sedemikian tersebar.

“Saya minta juga polis siasat mereka yang pijak dan gambar yang dimanipulasikan,” katanya.

Tambahnya lagi, satu lagi laporan polis yang sama akan dibuat oleh Pemuda PAS Wilayah di Balai Polis Sentul petang ini.

PAS Wilayah Persekutuan sebelum ini mendesak agar penganjur perhimpunan itu memberikan penjelasan dan individu yang terlibat diheret ke muka pengadilan.

Ia kerana, kata mereka, memijak gambar Presiden PAS boleh mencetuskan perbalahan agama dan kaum memandangkan Abdul Hadi merupakan Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia.

Perhimpunan BERSIH 4 selama 34 jam pada 29 dan 30 Ogos lalu dan dianggarkan dihadiri lebih 200,000 pada waktu kemuncaknya.

Penganjur pula menganggarkan jumlah kehadiran adalah seramai 500,000 orang sepanjang tempoh perhimpunan berlangsung.

BERSIH 4 ini sedikit berbeza dengan perhimpunan sebelumnya apabila ia tidak membabitkan PAS secara rasmi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS