Melaka United memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menjuarai Piala Liga FAM selepas menewaskan Perlis 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini malam ini.
Nurshamil Abd Ghani muncul wira pasukan tuan rumah apabila menjaringkan hatrik, sekali gus membolehkan skuad Sang Kancil menjulang piala tersebut buat pertama kali.
Perlawanan sengit itu juga menyaksikan pertembungan dua 'ayam tambatan' - Nurshamil dan Mohd Syafiq Azmi dari Perlis yang menjaringkan kedua-dua gol pasukan Singa Utara.
Untuk rekod, kedua-dua pemain merupakan penjaring terbanyak Liga FAM dengan masing-masing menjaringkan 12 gol.
Pada perlawanan yang menyaksikan buat pertama kali pada musim ini kehadiran penuh penonton di Stadium Hang Jebat memuatkan 40,000 penonton itu, Perlis terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-16 menerusi sepakan penalti Mohd Syafiq setelah pemain pelawat dikasari dalam kotak penalti.
Biarpun ketinggalan, ia tidak mematahkan semangat pemain Melaka United untuk melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu Perlis dan hasilnya Nurshamil berjaya merembat masuk gol penyamaan pada minit ke-37.
Bersambung babak kedua, rentak permainan kedua-dua pasukan agak perlahan dengan masing-masing lebih berhati-hati.
Namun, Perlis yang dibimbing bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah kembali berada di hadapan pada minit ke-59 apabila Mohd Syafiq menjaringkan gol kedua pasukan pelawat.
Tersentak dengan jaringan itu anak buah Mat Zan Mat Aris menggandakan asakan dan Nurshamil berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71.
Ketika perlawanan dilihat bakal diheret ke masa tambahan, Nurshamil muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan tuan rumah pada masa kecederaan (minit ke-91).
Selaku juara Piala Liga FAM, Melaka United membawa pulang piala dan wang tunai RM60,000 manakala Perlis meraih RM30,000.
Perlawanan akhir Piala Liga FAM itu menemukan Melaka United selaku juara Kumpulan B liga berkenaan setelah mengutip 36 mata, berdepan juara Kumpulan A, Perlis yang mengumpul 42 mata.
Kedua-dua pasukan telah layak beraksi dalam saingan Liga Perdana, musim depan.
Bernama