Isteri perdana menteri Rosmah Mansor menyarankan kepada para suami supaya menjaga isteri dan bayi mereka semasa cuti paterniti.
Beliau berkata, selain cuti bersalin selama 60 hingga 90 hari diberikan kepada pekerja wanita, cuti paterniti selama tujuh hari juga diberi kepada suami.
Sehubungan itu, secara berseloroh, beliau berharap semasa cuti tujuh hari itu, para suami duduk di rumah dan tidak bermain golf.
"Jadi saya harap, para suami jaga ibu dan bayi. Jangan tujuh hari cuti, main golf. Para isteri kena periksa, suami kalau cuti tujuh hari dia mesti jaga anda dan bayi.
"Jangan benarkan mereka keluar. Saya tahu kaum lelaki tidak gembira dengan perkara ini tetapi saya di sini adalah untuk membela kaum wanita," katanya sambil mendapat tepukan hadirin.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan pelancaran Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat kebangsaan di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, berkongsi pengalaman beliau sendiri, Rosmah berkata beliau sebelum ini tidak sempat menikmati cuti bersalin selama 60 hingga 90 hari.
Malah, suaminya Datuk Seri Najib Razak juga, katanya tidak pernah mendapat cuti paterniti selama tujuh hari berikutan kesibukan mereka.
"Dia (Najib) tak pernah dapat cuti dia. Dia tak pernah ada peluang untuk ambil (cuti) tujuh hari.
"(Tempoh) 60, 90 (wanita) bercuti, saya cuma dapat 40 hari, lepas 40 hari siaplah pergi kerja," katanya lagi.