Ramai orang seperti tidak percaya kumpulan pendesak pilihan raya adil BERSIH mendapat dana RM1.5 juta untuk perhimpunan besar hujung minggu ini.
Mereka juga tertanya-tanya sama ada sokongan kewangan ini tanda demonstrasi mulai Sabtu ini akan disertai lebih ramai peserta berbanding BERSIH 3 dan BERSIH 2.
Selain itu, jika ada, orang ramai ingin mengetahui sejauh mana kejayaan usaha-usaha mengusulkan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Abdul Razak pada sesi Dewan Rakyat akan datang.
Mereka juga ingin mengetahui sama ada wakil-wakil rakyat pembangkang lebih menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengganti Najib.
Semua persoalan ini, dan isu-isu berkaitannya, akan dijawab dalam forum bertajuk "1MDB: Protes Rakyat atau Dewan Rakyat" malam esok di pejabat Malaysiakini .
Ahli-ahli panel pilihan Malaysiakini :
- Datuk A Kadir Jasin, pengulas politik terkenal;
- Datuk Saifuddin Abdullah, CEO Pergerakan Moderat Global (GMM) dan mantan timbalan menteri;
- Gan Ping Sieu, presiden bersama pertubuhan CENBET dan mantan timbalan menteri; dan
- Maria Chin Abdullah, pengerusi BERSIH 2.0.
Forum ini yang berlangsung selama dua jam akan diadakan mulai jam 8.30 malam di pejabat portal berita terkenal ini di Petaling Jaya.
Acara tersebut sebahagian aktiviti Malaysiakini untuk merancakkan perbahasan isu-isu semasa. Para peserta boleh bersoal jawab dengan empat tokoh berkenaan berhubung topik hangat ini.
Untuk mereka yang berada di luar Lembah Klang, forum ini bakal disiarkan secara langsung melalui video dalam talian live.malaysiakini.com.
Untuk sesi soal jawab secara bersemuka, orang ramai boleh menghadiri di alamat seperti berikut:
PJ 51 Business Park, @Kini, No 9 Jalan 51/205 A, Off Jalan Tandang, Petaling Jaya