Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pertandingan menamakan anak panda gergasi
Diterbitkan:  Aug 24, 2015 6:40 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Rakyat Malaysia berpeluang menamakan anak panda yang dilahirkan baru-baru ini dalam satu pertandingan yang akan diadakan tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata pertandingan itu dijangka akan diadakan tiga bulan dari tarikh anak panda itu dilahirkan pada 18 Ogos lepas.

Beliau berkata Zoo Negara telah mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang meluluskan penganjuran pertandingan tersebut.

"Keputusan bagi menganjurkan pertandingan itu adalah untuk menarik sebanyak mungkin penyertaan oleh masyarakat di seluruh negara," katanya kepada Bernama hari ini.

Rosly berkata bagaimanapun, syarat-syarat penyertaan hanya akan diumumkan setelah mengambil kira keadaan dan kesihatan anak panda itu apabila ia boleh dikunjungi di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) nanti.

Anak panda itu dilahirkan panda gergasi betina bernama Liang Liang, yang dipinjamkan oleh kerajaan China kepada Malaysia bersama seekor lagi panda gergasi jantan, Xing Xing, bagi tempoh 10 tahun bermula 2014.

Mengulas keadaan anak panda itu, Rosly berkata ia kini berada dalam keadaan sihat dengan penambahan berat sebanyak 15 gram kepada 190 gram.

"Semalam, pihak veterinar telah mengasingkan anak panda itu untuk mengambil berat serta mengukur panjangnya...yang berubah cuma berat sahaja namun panjangnya masih sama," katanya.

Dalam pada itu, katanya Malaysia akan memohon untuk melanjutkan tempoh anak panda itu berada di negara ini kepada empat tahun, berbanding dua tahun yang ditetapkan dalam perjanjian dengan China.

"Perkara ini mungkin mustahil namun kami akan tetap menghantar permohonan bagi mendapat kebenaran untuk lanjutan itu, ia juga bagi memberi peluang agar rakyat Malaysia dapat melihat anak panda itu lebih lama," katanya.

Sementara itu, Rosly berkata kos penjagaan anak panda itu mencecah RM3,000 sebulan.

Katanya, Malaysia juga perlu membuat bayaran one-off sebanyak AS$600,000 kepada China susulan kelahiran anak panda berkenaan dan pihaknya turut mencari penaja bagi tujuan itu.

Pasangan panda gergasi itu, yang sebelum ini dikenali dengan nama Fu Wa dan Feng Yi, tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Pada 25 Jun tahun lepas, Najib mengumumkan nama baru pasangan panda berkenaan iaitu Xing Xing (kemakmuran) bagi panda gergasi jantan dan Liang Liang (cantik) bagi panda gergasi betina semasa ia berada di negara ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS