Gerakan Harapan Baru (GHB) menyifatkan gesaan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat PAS sebagai "tidak adil" kerana mereka tidak dapat bertanding semula dalam tempoh lima tahun.
Setiausaha GHB Dr Dzulkefly Ahmad turut berkata perundangan dan perlembagaan juga tidak memaksa wakil rakyat mengosongkan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.
"Di segi konvension juga perletakan jawatan bukan satu amalan. Terkini adalah kedudukan kes (bekas menteri besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kedua-dua kerusi yang disandang.
"Mungkin ada kewajaran untuk meneliti dan menimbang kembali perkara ini. Buat masa ini, sistem politik dan pilihan raya adalah tidak adil buat ADUN atau MP yang meletak jawatan kerana mereka tidak dapat bertanding semula selama lima tahun," katanya.
GHB akan mengumumkan penubuhan parti Islam baru pada 31 Ogos ini. Dilaporkan parti itu bakal dikenali Parti Amanah Rakyat.
Dr Dzulkefly mengulas gesaan Hadi supaya anggota parlimen dan ADUN PAS yang bertindak menyertai parti lain perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.
MP Marang itu berkata tindakan tersebut perlu kerana mereka telah berbaiah semana menerima tawaran bertanding menjadi wakil rakyat, lapor Mingguan Malaysia hari ini.
Selain itu, bekas anggota jawatankuasa PAS pusat itu itu berkata, sukar untuk menggunakan faktor parti bagi menuntut seseorang calon PAS untuk mengundurkan diri dari kerusi yang dimenanginya.
Ia berikutan bukan hak mutlak sesebuah parti semata-mata jika parti itu mendapat persepsi tertentu sehingga mencapai kemenangan dalam sesebuah pilihan raya.
Justeru, Dr Dzulkefly yang juga MP Kuala Selangor meminta supaya pihak Parlimen serius membuat pindaan dan membahaskan berhubung isu ini secara serius dan bi-partisan.
"Mengikut beberapa kajian, wujudd faktor-faktor kemenangan yang lain seperti ketokohan calon itu sendiri, faktor sokongan rakyat jelata serta sesebuah isu dan gelombang.
"Tentunya untuk memastikan yang mana faktor lebih penting bagi setiap kerusi yang dipertandingkan kita harus bersabar. Sebabnya, perkara ini hanya akan dapat dibuktikan dalam satu pertandingan dan persaingan dalam pilihan raya akan datang," katanya lagi.