Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Melayu 'terbangsat' jika Umno hilang kuasa

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata orang Melayu Islam akan "terbangsat" sekiranya Umno tidak lagi memerintah negara.

"Kalau tak ada Umno, apa berlaku dekat orang Melayu Islam? Ada orang kata, kami akan tersungkur, kecundang, tertiarap.

"Saya pilih perkataan orang Melayu akan terbangsat, kalau tiada Umno, akan hilang segala-galanya jika Umno hilang kuasa," katanya sambutan disambut dengan sorakan hadirin.

Najib yang juga presiden Umno menyampaikan ucapan merasmikan mesyuarat perwakilan Umno untuk bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau.

Beliau selaku menteri kewangan turut menggesa kepimpinan Umno untuk mencari jalan sekiranya terdapat masalah dalaman dalam negara.

Menurutnya, parti itu pernah berdepan dengan masalah sejak ditubuhkan dan sudah pasti terdapat formula bagi Umno untuk menyelesaikan masalah.

Sekalipun beliau dikritik dan terdapat cubaan mengaitkan beliau dengan pelbagai skandal, Najib berkata beliau akan meneruskan taggungjawabnya memperkukuhkan parti kerana beliau tidak mencuri wang rakyat atau melanggar undang-undang.

"Saya sudah pasti tidak akan merosakkan parti. Arwah ayah saya yang membina parti ini," katanya. [Baca berita asal]

Sementara itu Bernama melaporkan menjelas lanjut mengenai perkara itu, Najib berkata beliau memilih perkataan bangsat kerana tidak ada perkataan lain yang boleh menggambarkan keadaan orang Melayu, yang akan cukup tertekan jika UMNO hilang kuasa.

"Saya pilih perkataan orang Melayu akan terbangsat kalau Umno hilang kuasa. Terbangsat...tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan untung nasib yang cukup tertekan, hilang segala-galanya, hilang kuasa, hilang maruah dan hilang masa depan," katanya.

Oleh itu, katanya segala permasalahan yang berlaku dalam parti perlu diselesaikan bagi memastikan Umno kekal berkuasa.

"Kalau ada masalah, cari penyelesaian, sama ada peringkat nasional, peringkat negeri, takkan tidak ada penyelesaian," katanya.

Katanya pelbagai dugaan dan masalah pernah dilalui parti itu sebelum ini, dan ia berjaya diselesaikan.

"Pengasas Umno keluar Umno dan tubuh parti lain, biro agama keluar dan tubuh parti PAS, Umno diharamkan, presiden Umno berlawan dan menang 41 undi sahaja, krisis kewangan 1997, zaman konfrontasi, komunis dan bermacam-macam...tapi kita

berjaya melepasi daripada krisis-krisis tersebut," katanya.

Najib berkata dengan adanya penyatuan dalam parti, tidak ada sebab Umno tidak boleh kekal sebagai parti yang memerintah.

"Sebagai sebuah parti, kita harungi lautan yang terbentang luas, adakala bergelora dan adakala dipukul badai.

"Bahtera Umno sebenarnya kuat dan telah diuji sekian lama dan telah banyak berjasa mengubah landskap politik, ekonomi dan sosial sehingga dunia menganggap Malaysia di bawah Umno sebagai sebuah negara model dan berjaya," katanya.

Lihat Komen
ADS