Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador mendakwa ada kumpulan sulit yang cuba menutup isu 1MDB.

Menggelarkan kelompok itu sebagai Geng Hang Tuah, Abdul Hamid bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mereka.

Beliau menyebut nama kumpulan itu ketika Malaysiakini bertanya mengenai kemunculan mesej WhatsApp palsu mendakwa dia akan memfailkan aduan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya Geng Hang Tuah menyebarkan mesej palsu yang mendakwa dia akan mengadakan sidang media di Bukit Aman untuk mendedahkan pembabitan Dr Mahathir dengan Sarawak Report mendedahkan maklumat 1MDB demi menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Abdul Hamid juga mendakwa kumpulan rahsia itu diketuai Si Kitol.

Katanya, beliau berjanji akan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai dalang kumpulan itu selepas ini.

"Saya pasti mereka daripada kumpulan Hang Tuah yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat salah.

"Saya akan dedahkan nama Si Kitul tak lama lagi," katanya.

Si Kitol merujuk kepada nama pengkhianat yang membocorka rahsian Melaka kepada Portugis pada abad ke-16 sehingga menyebabkan kerajaan Melayu itu runtuh.

Ditanya lebih lanjut Abdul Hamid berkata, mereka mahu mengelak isu 1MDB dipersoalkan.

"Kumpulan ini cium tangan pun mahu demi melindungi kepentingan peribadi," katanya.

Mati hanya sekali

Sementara itu Abdul Hamid berkata sehingga kini beliau menerima pelbagai panggilan telefon yang menasihatinya agar berhati-hati.

Kata Abdul Hamid, pihak tersebut mendakwa ada kelompok sudah "gelap mata" dan sanggup mengambil tindakan luar biasa terhadapnya.

Meskipun pasrah dengan apa yang terjadi, beliau yang berkhidmat dengan PDRM selama 37 tahun itu tegas dengan ikrar janji yang dibuat sebelum ini.

Katanya ketika menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Mei 1980, anggota PDRM berikrar untuk mempertahankan kebenaran walaupun nyawa menjadi galang gantinya.

“Saya pasrah. Saya hanya takutkan kemurkaan Allah. Saya tetap memegang kepada sumpah ikrar tamat latihan asas polis di Pulapol pada Mei 1980 dulu.

“(Saya) sanggup mati untuk pertahankan kebenaran demi negara tercinta. Pada lambang polis tersemat pada topi polis itu ada tertera kalimah Allah (dan) Muhammad.

“Itulah yang dijunjung oleh lebih 100 ribu warga PDRM selama ini. (Lagi pun) mati itu sekali saja.

Beliau turut berkata jika ada mana-mana pihak membunuhnya, ia tetap tidak dapat menutup jenayah yang dilakukan.

“Membunuh saya tidak akan dapat menutup jenayah yang dilakukan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS