Sebuah tinjauan mendapati pengguna Internet tidak percaya kepada Putrajaya dan Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB dan wang RM2.6 yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri.
Firma media sosial Politweet mendapati majoriti respondennya tidak percaya bahawa jumlah besar wang itu adalah sumbangan politik.
Politweet meneliti 93,893 tweet daripada 79,949 pengguna dalam tempoh 30 hari bermula 3 Ogos.
Menurut tinjauan yang diedarkan pada Selasa, pengguna maya tidak yakin bagaimana sumbangan kepada Umno disimpan dalam akaun peribadi dan ada yang menuduh Najib berbohong.
Tinjauan itu dibuat selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan bahawa wang itu adalah derma.
Politweet juga meringkaskan tanggapan negatif berterusan terhadap Najib dalam isu 1MDB dalam tempoh beberapa bulan terakhir daripada 122,547 pengguna yang menulis tweet berkaitan.
“Apabila membaca kritikan pada Najib, kami sering temui pengguna menyalahkan beliau dalam isu kos hidup dan situasi ekonomi secara umum (sebelum Mei).
“(Pihak) anti-Najib pantas mengaitkan kenaikan kos hidup dengan hutang 1MDB dan Najib didakwa pencuri dana. Ketika nilai ringgit jatuh, perkara ini juga dikaitkan dengan Najib.
“Ia mula menjadi ketawa dalam Mei (ketika isu rundingan Tabung Haji dengan 1MDB), Jun (gagal hadir forum #Nothing2Hide forum), Julai (dakwaan The Wall Street Journal dan Sarawak Report ) dan akhirnya Ogos (pengesahan RM2.6 bilion dimasukkan dalam akaunnya),” kata Politweet.