Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan S'gor jawab kritikan pada DEIG
Diterbitkan:  Aug 20, 2015 1:11 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Semua keputusan komersil dan pelaburan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan, Tender, Audit dan Pelaburan demi menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban, kata kerajaan negeri.

Kerajaan negeri juga berkata penyata kewangan tahunan DEIG akan diaudit dan dibentangkan kepada pemegang saham dan dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat setiap tahun termasuk umum boleh melihat perinciannya.

"Diperingkat MBI, Enakmen No 3 Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) 1994 akan ditambah baik untuk memastikan segala laporan kewangan termasuk DEIG yang telah dikonsolidasikan di peringkat MBI akan dibentang di Dewan," kata kerajaan negeri dalam satu kenyataan.

Kerajaan negeri juga berkata Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) mempunyai akses untuk meneliti pengurusan dan kewangan DEIG seperti anak syarikat kerajaan negeri yang lain.

"Laporan kewangan DEIG akan dikonsolidasikan di peringkat MBI. Maksudnya segala perincian kewangan di peringkat DEIG akan direkod diperingkat MBI melalui kaedah ‘consolidated account’" katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab kebimbangan wakil rakyat daripada kedua-dua pihak - kerajaan dan pembangkang - bahawa syarikat itu tidak ada 'semakan dan imbangan' yang mencukupi.

DEIG dilapor ditubuhkan pada Disember tahun lalu dan dilancarkan pada Mei tahun ini untu menguruskan pelaburan anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).

DEIG adalah milikan penuh oleh MBI dan mempunyai modal yang dibenarkan sejumlah RM10 juta.

Ia akan akan ditadbir oleh Lembaga Pengarah yang terdiri menteri besar Selangor, setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan negeri, ketua pegawai eksekutif MBI dan ketua pegawai operasi MBI dan disokong golongan professional yang pakar dalam bidang pelaburan strategik.

Dalam kenyataan itu juga, kerajaan negeri turut menolak tanggapan bahawa kerajaan tidak boleh melibatkan diri dalam bisnes.

"Kerajaan harus juga melibatkan diri dalam bidang-bidang strategik seperti perumahan mampu milik, kesihatan awam, pembekalan air bersih dan sebagainya," kata kerajaan negeri.

Dalam kenyataan itu juga menyebut, kerajaan negeri juga akan memfokus untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk bisnes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS