Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS akan sokong undi tak percaya pada PM
Diterbitkan:  Aug 19, 2015 11:27 AM
Dikemaskini: 7:43 AM

PAS akan menyokong undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak jika dibentangkan di parlimen.

"Jika ada undi tidak percaya terhadap perdana menteri, PAS akan turut bersama kerana tindakan-tindakan terhadap 1MDB dan jawapan-jawapan terhadap derma RM2.6 bilion jelas tidak dapat diterima rakyat," kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata ikrar daripada PAS itu dibuat selepas pengarah pilihan raya parti berkenaan, Datuk Mustafa Ali menyokong langkah sedemikian.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mempersoalkan mengapa pihak polis tidak menyiasat 20 orang ahli parlimen BN dan " orang tua misteri " yang didakwa terlibat dalam komplot menggulingkan Najib di bawah Seksyen 124B.

"Tiada tindakan melarang para ahli parlimen BN dan orang tua misteri yang dituduh itu keluar negara seperti yang dikenakan pada beberapa ahli pembangkang dan pemimpin NGO sebelum ini?

“Mengapa tiada tangkapan, serbuan ke rumah dan sebagainya sebagaimana yang dialami para pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara?” soal Tuan Ibrahim.

Katanya lagi, oleh kerana pihak polis tidak bertindak di atas khabar angin itu, beliau berharap agensi tersebut tidak bertindak ke atas penganjur Bersih 4 di atas seksyen yang sama kerana ia hanya akan memburukkan imej mereka di mata rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS