Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad Maslan akhirnya akui Umno, BN lemah
Diterbitkan:  Aug 18, 2015 3:58 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Ketua penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan akhirnya mengakui bahawa parti itu kini dalam keadaan lemah dan akan tewas sekiranya pilihan raya umum diadakan dengan segera.

Bagaimanapun, Umno dan BN masih mampu membuat perubahan untuk mendapatkan sokongan jika pilihan raya diadakan selewat-lewatnya pada tahun 2018, katanya.

BN dan Umno juga berpeluang untuk menang kerana pembangkang kini berada dalam keadaan kucar-kacir, katanya di blog ahmadmaslan.my.

“Saya juga mengakui hakikat bahawa Umno dan BN sedang berhadapan dengan keadaan yang agak mencabar waktu ini.

"Namun, kita masih ada masa untuk memperbaiki keadaan.

"Masih ada masa, mungkin hingga tahun 2018. Namun, esok sudah boleh dimulakan persiapan utk PRU itu," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kenyataannya pada awal bulan ini, yang menerima teguran keras daripada timbalan perdana menteri waktu itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin pada awalnya memberi amaran bahawa BN akan kalah "jika esok diadakan PRU".

Amaran itu hanya dijawab dengan main-main oleh Ahmad, beberapa hari kemudian, dengan berkata: "esok bukan pilihan raya".

Susulan itu, beliau digelar sebagai sombong oleh Muhyiddin susulan ulasannya berkaitan peluang BN dalam pilihan raya.

Muhyiddin turut menganggap Ahmad membuat kenyataan seperti seorang budak kecil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS