Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerana sebuah buku seorang pemimpin boleh jatuh.

Perkara itu pernah berlaku kepada Pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini apabila diserang 50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi PM .

Anwar ketika itu timbalan perdana menteri bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun kini sejarang mungkin berulang apabila Mahathir pula menjadi sasaran dengan cara hampir sama, ketika beliau sendiri giat mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penulis politik veteran Syed Hussein Alattas ( gambar ) hari ini akan melancarkan buku barunya, Dosa-dosa Mahathir yang berkisar tentang kegagalan Mahathir di kediamannya di Janda Baik, Pahang hari ini.

"Ini saya punya kerja. Kita ini penulis, kita dokumenkan apa yang berlaku. Mahathir ini dia jadi perdana menteri selama 22 tahun dan dia gagal.

"Tiba-tiba sekarang ini dia mengigau. Dah nyanyuk kot," katanya berseloroh ketika dihubungi Malaysiakini .

Ditanya sama ada buku itu sebagai tanda sokongan kepada Najib, Syed Hussein memberitahu sebagai penulis,beliau tiada kaitan dengan presiden Umno itu.

'Hanya perang tulisan'

Malah, Syed Hussein atau dikenali sebagai Pak Habib berkata, beliau hanya merekodkan segala yang terjadi sepanjang Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Turut hadir pada pelancaran buku tersebut ialah penulis pro-Umno yang menulis empat buah buku anti-Najib Shahbudin Husin serta Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.

Hadir dalam majlis itu juga penyair terkenal Pyanhabib dan penulis politik Sayuti Omar.

Dalam sidang medianya, Syed Hussein berkata, buku yang ditulis dalam masa tiga bulan itu adalah untuk membuka fikiran pembaca berhubung kesalahan yang pernah dilakukan Mahathir sebelum ini.

Ia berikutan pada waktu ini masyarakat hanya melihat kesalahan yang dilakukan Najib sepanjang menjadi perdana menteri.

"Hari ini orang cerita tentang apa (kesalahan) yang Najib buat saja. Sekarang kita kena tengok apa yang Mahathir dah buat pula.

"Najib dan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) adalah anak didik Mahathir. Kita dah lupa ke berapa tahun dia bawa mereka untuk ke atas dan tiba-tiba nak 'bunuh' begitu sahaja," katanya.

Katanya lagi, sebagai penulis politik, beliau hanya "berperang" melalui tulisan berbanding perang untuk membawa perubahan kepada negara.

"Saya tak boleh berperang dengan tangan saya. Saya perang dengan pen. Itulah senjata saya paling tajam," ujarnya lagi.

Buku ini merupakan buku ke-74 tulisan Syed Hussein.

Antara buku yang pernah ditulisnya sebelum ini ialah Memo Untuk Mahathir dan Siapa Lawan Siapa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS