Ringgit meneruskan penurunannya pada jam 5 petang ini, mencecah paras 4.0 berbanding dolar AS, buat pertama kalinya sejak krisis kewangan Asia 17 tahun lepas.
Unit tempatan itu disebut harga 1.96 peratus lebih rendah pada 4.0375/0415 berbanding dolar AS daripada 3.9600/9630 pada 5 petang semalam, lapor Bernama.
Pada 7 Januari, 1998, mata wang tempatan jatuh ke paras paling rendah pada 4.88 berpunca daripada spekulator mata wang semasa krisis tersebut, yang menyebabkan kerajaan mengambil tindakan drastik untuk menambatnya kepada 3.80 berbanding dolar hampir tujuh tahun.
Sementara itu, Bernama melaporkan pengeksport digesa untuk melindung nilai ringgit dengan lebih kukuh apabila mata wang tempatan itu mencecah paras psikologi 4.0 berbanding dolar AS, hari ini.
Pedagang korporat di bank-bank tempatan mula menggesa pengeksport Malaysia untuk menimbang melindung nilai paras ringgit sekarang, yang dikatakan paras terbaik eksport berbanding
dolar AS.
Pengeksport Malaysia yang memperoleh hasil mereka dalam dolar AS meraih keuntungan baik berikutan pengukuhan dolar AS, namun oleh kerana penurunan nilai ringgit mungkin hanya
sementara, mereka disyorkan untuk melindung nilainya bagi mengekalkan paras terbaik eksport, kata seorang peniaga yang enggan namanya disiarkan.
"Apa-apa sahaja di atas 4.0 adalah menarik, jadi lindunginya.
"Pengeksport boleh memilih produk seperti mata wang hadapan dan opsyen yang biasanya dijual oleh bank-bank untuk melindung nilai kadar pertukaran yang bergerak, daripada hanya
sekadar berharap pertukaran asing sentiasa memihak kepada mereka," katanya kepada Bernama.
Para pedagang pasaran mata wang berkata penurunan nilai ringgit sekarang berbanding dolar AS adalah disebabkan kebimbangan akan lebihan bekalan minyak mentah global, dengan setiap penurunan di penanda aras West Texas Intermediate (WTI) dan Brent meningkatkan momentum jualan mata wang ekonomi sedang pesat membangun yang dikaitkan dengan eksport minyak mentah.
Ringgit juga berdepan cabaran lain -- penurunan harga bon kerajaan, isu berkaitan dana negara 1Malaysia Development Bhd, dan yang paling terbaru penurunan nilai yuan China, kata seorang peniaga kanan.