Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gerakan Harapan Baru (GHB) masih lagi berteka-teki sama ada akan meletakkan calonnya di kawasan yang ditandingi PAS.

Bagaimanapun, menurut Anggota Jawatankuasa Pengurusan GHB, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, perkara berhubung meletakkan calon pilihan raya masih lagi tiada asas untuk dibincangkan pada waktu ini. 

Katanya, keputusan untuk meletakkan calon di sesebuah kawasan memerlukan perbincangan dari segi teknikal daripada semua parti pembangkang.

Ia bagi memastikan asas utama gerakan itu bertanding dalam pilihan raya adalah untuk mengalahkan BN dan bukan parti pembangkang yang lain, kata Mujahid.

Justeru itu, pengerusi penaja GHB Pulau Pinang itu berkata, apa yang menjadi keutamaan kini ialah untuk memastikan bahawa di sesebuah kawasan yang ditandingi tidak akan menguntungkan BN.

"Secara umumnya, dalam konteks pilihan raya, perkara itu perlu perbincangan dan persefahaman. Yang asasnya kita berdepan dengan BN. Bukan dengan PAS, PKR, DAP.

"Strateginya perlu dijadikan asas. Selagi menguntungkan BN, sudah tentu tak mahu ia berlaku. Tetapi ada juga keadaan kalau tak masuk (bertanding) akan untungkan BN.

"Itu adalah isu teknikal. Saya rasa belum ada asas lagi (untuk berbincang sama ada meletakkan calon atau tidak), Yang penting kena pastikan apa yang berlaku tak akan untungkan BN," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Sebelum ini PAS melahirkan kebimbangan mereka dengan mengatakan bahawa GHB tidak patut meletakkan calon mereka dalam pilihan raya negeri Sarawak kerana dikhuatiri akan memecahkan undi pembangkang.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, tindakan gerakan itu yang ingin meletakkan calon dalam pilihan raya negeri tersebut dilihat 'mengganggu' undi pembangkang berbanding BN.

Exco Selangor itu juga berkata, sekiranya GHB benar-benar ikhlas dengan agenda politik mereka, gerakan itu perlu fokus menarik pengundi BN dan atas pagar.

GHB Sarawak sebelum ini mengeluarkan kenyataan kesediaan mereka untuk meletakkan calon dalam pilihan raya negeri itu akan datang.

Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak ketika ini adalah sehingga Jun 2016.

Selain itu, ketika ditanya tidakkah GHB bimbang sekiranya berlaku pemecahan undi jika meletakkan calonnya, bekas ahli jawatankuasa PAS itu berkata perkara itu akan cuba dielakkan.

Ia bagaimanapun terpulang kepada hasil perbincangan dengan parti pembangkang lain iaitu DAP dan PKR, katanya.

"(Pecah undi) pasti akan berlaku. Tetapi perlu lihat juga ruang-ruang lain supaya tak ada pertembungan. Kita juga terikat dengan DAP, PKR. Semua itu perlu ambil kira. Kita tak mahu keuntungan akan beri kemenangan pada BN dan pada masa sama, tak mahu pecahkan undi Pakatan. Perlu ada keseimbangan," jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan GHB untuk menjadi sebuah parti politik, ahli parlimen Parit Buntar itu berkata, pada waktu ini, pihaknya mempunyai dua pilihan.

Selain daripada mendaftar sebagai sebuah parti baru, GHB juga akan cuba mengambil alih parti politik sedia ada, selain menggunakan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).

"Kita ada dua pilihan. Sama ada daftar parti baru yang pernah dibuat sebuah parti sebelum ini dan memakan masa dua tahun. Satu lagi pilihan yang pernah juga dibuat oleh PKR ialah mengambil parti yang sedia ada dan tukar perlembagaan mereka dan dibuat sebagai parti baru. Itu saya rasa lagi mudah.

"Itu pilihan yang kita ada. Kita akan guna dua-dua. Dari sudut parti mana itu, kita memang ada banyak pilihan. Walaupun ada yang kata parti KITA, itu hanyalah sebahagian dan salah satu pilihan. Ada parti lain juga yang berada dalam radar kita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS