Presiden Umno berharap ahli parti itu tidak mendiamkan diri apabila pemimpin mereka diserang, malah sesetengahnya bertindak seolah-olah menuang minyak ke api menyala.
Bercakap di mesyuarat agung tahunan Umno bahagian Bandar Tun Razak hari ini, Datuk Seri Najib Razak berkata, ahli perlu mempertahankan parti itu kerana apa yang dilakukannya bukan untuk kepentingan diri sendiri.
"Sebagai presiden parti, apa yang saya buat, sama ada kutip dana atau apa-apa, semata-mata untuk kepentingan parti, bukan untuk lain.
"Zaman saya banyak pertolongan (disalurkan) kepada bahagian, banyak kerja amal dibuat, ramai orang naik haji, banyak bahagian dapat sumbangan setiap bulan.
"(Tetapi) janganlah apabila (sudah) dapat, semua senyap. Apabila saya diserang, kita tambah lagi, tuang minyak," katanya.
Pada masa sama Najib yang dibayangi tuduhan menyalahgunakan dana awam mempertikaikan sama ada pembangkang benar-benar baik.
Kata perdana menteri, pembangkang yang mempersoalkan dana yang dimasukkan ke akaun persendiriannya juga menerima bantuan dari luar.
Katanya, beliau sanggup menjelaskan sumber serta perbelanjaan dana Umno kepada parti pembangkang - dengan syarat pembangkang bersetuju melakukan perkara sama.
Menurut Najib, orang ramai juga tidak wajar menuduhnya menjual negara kerana beliau adlaah perdana menteri yang bertanggungjawab.
Walaupun menerima dana luar, katanya, ia bukan kerana pihak penderma diberikan sebarang kontrak daripada kerajaan.
"Sebab tu SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dah kata, (duit RM2.6 bilion) itu bukan rasuah, bukan duit 1MDB.
"Ia dah selesai, dah selesai," katanya.