Pemimpin popular DAP Lim Kit Siang menyatakan kekesalannya terhadap penyingkiran pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menerima kunjungan pembangkang semalam.
“Saya kesal kerana pegawai itu disingkirkan selepas bertemu anggota parlimen dan ahli politik pembangkang,” katanya kepada Malaysiakini .
Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob hari ini dipindahkan keluar daripada suruhanjaya itu ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Rohaizad semalam menerima rombongan pemimpin-pemimpin pembangkang yang memberikan sokongan kepada badan yang sedang menjadi sasaran siasatan, serbuan dan tangkap polis.
Anggotanya disiasat susulan dakwaan kebocoran draf kertas pendakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.
Selain Rohaizad, pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin turut dipindahkan keluar daripada bahagian yang mengendalikan kes berprofil tinggi itu.
Pegawai yang lantang menentang “gangguan” polis terhadap suruhanjaya itu juga dipindahkan ke JPM.