Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membangkitkan sama ada Umno memerlukan peruntukan besar untuk menang dalam pilihan raya sedangkan perkara itu tidak berlaku sebelum ini.
Katanya, jika disemak lima kali pilihan raya semasa beliau menjadi presiden Umno, tidak bayak wang yang digunakan, terutama peruntukan daripada ibu pejabat.
“Namun BN tidak pernah menang kurang dari 2/3 kerusi di parlimen,” katanya lagi.
Mahathir berkata jika sekarang Umno memerlukan RM2 bilion untuk sesebuah pilihan raya, ia tetap melanggar aturan peraturan dan undang-undang pilihanraya.
“Akaun perbelanjaan pilihanraya tiap seorang calon pilihanraya perlu dilapor kepada pihak berkuasa. Adalah salah jika ia melebihi jumlah tertentu.
“Saya pohon maaf jika peraturan ini sudah digugur. Ia diadakan untuk mengelak dari rasuah berlaku.
Dalam satu lagi pendedahan sensasi, The Wall Street Journal (WSJ) pada 3 Julai melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa mengesan hampir AS$700 juta deposit ke dalam apa yang mereka percaya akaun bank peribadi Najib.
Sarawak Report secara berasingan melaporkan sebanyak AS$681,999,976 (RM2.6 bilion) didakwa dipindahkan oleh dana Abu Dhabi Aabar ke dalam akaun peribadi Najib di AmBank di Kuala Lumpur pada Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum 5 Mei 2013.
Najib telah menafikan perkara itu dan menghantar surat peguam bagi memohon penjelasan terhadap WSJ.