Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menasihati anggota parti agar menerima dan memahami mesej ucapan Timbalan Presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat bahagiannya yang menyentuh 1MDB.
Katanya, apa yang disentuh oleh Muhyiddin dalam ucapannya bukan sahaja kegusaran tentang masa depan parti, ia juga merangkumi soal keyakinan anggota dan rakyat biasa terhadap Umno dalam pilihan raya umum ke-14.
“Sebagai anggota parti saya setuju pandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin kalau isu 1MDB tidak diselesaikan maka ia akan menjadi liabiliti kepada Umno dan BN.
“Sepertimana kata Muhyiddin kalau melibatkan kewangan rakyat seringgit dua tidak mengapa dan kalau tidak ada 1MDB pun tak ada masalah.
“Tetapi isu 1MDB sudah menjadi isu bualan rakyat semua peringkat umur yang tidak mampu dibendung lagi. Kalau kita gagal selesai isu 1MDB ini bermakna kita letakkan masa depan Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang ke dalam situasi yang amat rapuh,” katanya.
Muhyiddin selepas digugurkan sebagai timbalan perdana menteri semalam menegaskan beliau mempunyai pendirian sendiri dalam isu 1MDB untuk mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara.
Sementara itu, Syed Ali tidak melihat Muhyiddin cuba menekan atau mencabar mana-mana pihak apatah lagi mahu menggugat rasa kesetiaannya yang menebal kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya apa yang dilakukannya kerana mahu menyelamatkan masa depan parti.
“Saya mahu ingatkan anggota parti bila timbalan presiden Umno menyuarakan pandangan sedemikian bukanlah beliau mengambil pendekatan masuk gol ke gawang sendiri sebaliknya kerana kecintaan yang amat mendalam kepada institusi parti yang teruk dikecam dari dalam dan oleh pembangkang.
“Musuh-musuh Umno turut menjadikan isu kewangan ini sebagai modal politik dan menghina institusi parti kita,” katanya.