Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: Pelantikan sebagai TPM bukan habuan...
Diterbitkan:  Jul 28, 2015 4:39 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin bukan satu habuan, sebaliknya satu tanggungjawab untuk negara dan seluruh bangsa di Malaysia.

Ahmad Zahid, yang juga naib presiden Umno, berkata pelantikannya yang berkuat kuasa esok adalah bukti jelas tentang kebersamaan antara beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang telah lama terjalin.

"Pemikulan tanggungjawab ini tidak dapat saya elakkan, ia mengulangi sejarah lama apabila Najib yang dilantik sebagai menteri belia dan sukan melantik saya sebagai setiausaha politik.

"... kemudian saya mengikut Najib sebagai setiausaha politik apabila beliau dilantik sehingga menjadi menteri pertahanan," katanya kepada pemberita selepas pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Ahmad Zahid yang masih mengekalkan portfolio menteri dalam negeri berkata :"Saya tak pernah menjangkakan dan  membayangkan (pelantikan sebagai timbalan perdana menteri) tetapi Allah Taala yang menentukannya. Saya terima ini sebagai Qada dan Qadar".

Ahmad Zahid juga meminta semua anggota Kabinet, anggota Majlis Tertinggi Umno serta barisan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) supaya terus memberi sokongan padu kepada Najib.

Rombakan kabinet itu menyaksikan lima menteri digugurkan dan tujuh orang dilantik sebagai menteri baru.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diumumkan sebagai timbalan perdana menteri yang baru, mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang politik selain berpengalaman luas dalam bidang perniagaan perbankan.
 
Beliau, yang turut kekal sebagai Menteri Dalam Negeri dalam barisan Kabinet baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang diumumkan hari ini, telah juga menyandang beberapa jawatan lain dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.
 
Berkelulusan PhD-Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmad Zahid, 62, anak kelahiran Bagan Datoh, Perak, mula menjadi anggota Kabinet sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2008-2009) semasa pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
 
Beliau kemudian menyandang jawatan Menteri Pertahanan (2009-2013) sebelum bertukar ke portfolio sekarang sebagai Menteri Dalam Negeri sejak 16 Mei 2013.
 
Sebelum menjadi anggota kabinet, beliau pernah berkhidmat dalam pertadbiran kerajaan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan pada tahun 2004 dan Timbalan Menteri Penerangan (2006-2008).
 
Hubungan kerja antara Ahmad Zahid dengan Najib telah agak lama terjalin kerana beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Najib semasa Perdana Menteri pada ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pertahanan (kesemuanya dari 1987-1993).
 
Sebelum daripada itu beliau telah dilantik sebagai anggota Dewan Negara selama satu penggal dari tahun 1991 hingga 1994.
 
Beliau  mula bergiat aktif dalam politik apabila dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Bagan Datoh pada 1984 dan dari sini, beliau terus mendaki tangga dalam perjuangan politik UMNO peringkat nasional sehingga berjaya terpilih sebagai Ketua Pemuda  Umno Malaysia (1996-1999).
 
Kerjaya politik beliau kian menyinar apabila terpilih sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno selama dua penggal iaitu bagi 2000-2003 dan 2004-2007.
 
Ahmad Zahid dipilih sebagai seorang daripada tiga naib presiden Umno selama dua penggal iaitu pada 2008-2011 dan 2013-2016.
 
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, beliau telah mengekalkan kerusi Parlimen Bagan Datoh untuk penggal kelima selepas menewaskan Madhi Hasan (Parti Keadilan Rakyat) dengan majoriti 2,108 undi. Dr Ahmad Ahmad Zahid memperoleh 17,176 undi.
 
Beliau telah dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh sejak 1995 dan mengekalkan jawatan itu sehingga sekarang.
 
Sebelum menceburi bidang politik, Ahmad Zahid pernah menceburi sektor perbankan dan berkhidmat di beberapa bank seperti OCBC sebagai pegawai bank (1976-1977), di Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai penolong pengurus (1977-1979) dan di Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pengurus pemasaran Amanah Saham Nasional (ASN) (1979-1984).
 
Pengalaman luas beliau dalam bidang perbankan itu telah kemudian membawa beliau dilantik sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional dari tahun 1994 hingga 1999  dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada 2000.
 
Ahmad Zahid mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Balai, Rungkup sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh dan Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
 
Beliau kemudian melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1976.
 
Ahmad Zahid memperoleh ijazah Sarjana Sains (Komunikasi Korporat) pada tahun 2000 dan kemudiannya ijazah doktor falsafah PhD-Komunikasi dari UPM.
 
Hasil perkongsian hidupnya dengan Datin Seri Hamidah Khamis, 60, mereka dikurniakan dua puteri Nurulhidayah, Nurulizawani dan tiga putera, Ahmad Khairul Hafies, Ahmad Syafiq Hazieq, Ahmad Asyraf Arief.
 
- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS