Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rombakan: Najib dilapor sudah jumpa agong
Diterbitkan:  Jul 28, 2015 9:38 AM
Dikemaskini: 3:38 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak difahamkan sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bagi mempersembahkan senarai rombakan kabinet.

Perkara itu dilaporkan oleh Utusan Online selepas tengah malam tadi.

Akhbar Umno itu melaporkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel mungkin digugurkan susulan kemelut kepimpinan yang sedang melanda MIC.

Pertukaran juga dijangka dibuat apabila Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Komunikasi dan Multimedia) dikatakan akan digantikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Shabery dikatakan akan bertukar ke portfolio lain.

Sementara itu, Utusan juga melaporkan bahawa seorang pemimpin Sabah akan dilantik menganggotai kabinet dan seorang timbalan menteri akan dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh.

Sekurang-kurangnya dua muka baharu dikatakan akan dilantik sebagai timbalan menteri.

Utusan bagaimanapun berkata sumber yang rapat dengan perdana menteri semasa dihubungi menjelaskan; “Spekulasi tetap spekulasi, akhirnya perdana menteri yang akan membuat penentuan”.

Akhbar itu bagaimanapun tidak menyentuh kedudukan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa menjadi bahan spekulasi sama ada kekal atau digugurkan.

Komen terbaru Muhyiddin berhubung 1MDB kelmarin mengundang rasa tidak senang sesetengah pihak dalam Umno dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) sendiri.

Laman Majlis Penyokong Kerajaan (BNBBC) pula bagaimanapun menyebut, perdana menteri tidak akan membuat sebarang pengumuman rombakan Kabinet hari ini.

Menurut laman bnbbc.my, perkara itu disahkan oleh sumber Pejabat Perdana Menteri, pagi ini.

Bagaimanapun, sekiranya ada, pengumuman seperti itu mungkin akan dibuat pada hari Rabu atau Jumaat.

Juga hari ini, Malaysian Insider melaporkan bahawa Muhyiddin yang lantang mengkritik pengendalian 1MDB oleh Najib, mungkin 'tidak selamat' dalam rombakan itu.

Portal itu membuat spekulasi bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengambil alih sebagai timbalan perdana menteri yang baru.

Bagaimanapun, terdapat juga cakap-cakap bahawa sepupu Najib, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan dilantik ke jawatan nombor dua itu.

Spekulasi lain mengenai rombakan itu termasuk Zahid mengambil alih Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dengan tugas untuk mendapatkan sokongan orang Melayu di luar bandar.

Dipercayai menteri sekarang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Kemungkinan rombakan kabinet itu timbul ketika rasa tidak puas hati terhadap Najib semakin meningkat ekoran pendedahan yang mendakwa RM2.6 bilion telah didepositkan ke dalam akaun peribadinya.

Muhyiddin telah berkata bahawa Umno dan BN akan kalah jika pilihan raya umum diadakan tidak lama lagi.

Najib sebelum ini merombak kabinet pada Jun tahun lepas, untuk memberi ruang kepada lima pemimpin MCA dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

Langkah itu menambah jumlah anggota kabinet kepada 35 menteri penuh, termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri, dan 27 timbalan menteri.

[Baca berita penuh/asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS