Walaupun pelbagai masalah melanda negara dan juga Umno ketika ini, namun para tetamu rumah terbuka bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi termasuk perdana menteri dan timbalannya kelihatan ceria.
Malah, Datuk Seri Najib Abdul Razak hanya sempat mengucapkan satu perkataan kepada para wartawan yang mengerumuninya ketika beliau ingin meninggalkan majlis tersebut.
Ketika para pemberita melontarkan soalan kepadanya berkaitan skandal projek 1MDB, Najib hanya berkata:
"Okaylah," katanya ringkas sebelum memasuki kereta dan terus beredar.
Sementara itu, timbalanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas perdana menteri itu yang kelihatan mesra semasa majlis tersebut hanya berdiam diri ketika ditanya mengenai skandal kewangan negara itu.
Abdullah selaku tuan rumah majlis itu pula ketika ditemui juga tidak mahu memberi komen mengenai perkara tersebut.
"Seronok (saya teruja)," kata Abdullah ketika ditanya mengenai perasaannya pada hari ini.
"Suasana okay," kata bekas perdana menteri itu berseloroh ketika diminta mengulas mengenai isu semasa yang dihadapi negara sebelum beliau mengukir senyuman sebelum berjalan kembali beramah mesra dengan tetamunya.