Apa pun pandangan Gerakan Harapan Baru (GBH) dan PAS dalam isu bai'ah yang mengikat semua wakil rakyat parti itu, ulama muda Umno berpendapat ikrar berkenaan tidak lebih daripada perjanjian semata-mata.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ilmuan Malaysia (ILMU), Fathul Bari Jahaya berkata, ulama bersepakat bai'ah yang menepati syarak adalah ikrar yang diberikan kepada ulil amri (pemerintah) yang dilantik mengikut sistem yang diiktiraf Islam.
Katanya, bai'ah yang dipraktikkan PAS pula bukanlah ikrar yang diiktiraf dari istilah syarak.
Fathul Bari dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan pandangannya mengenai isu bai'ah yang membayangi konflik antara kumpulan progresif dan konservatif dalam PAS ketika ini.
Seiringan dengan kemunculan GBH, kumpulan konservatif PAS mengingatkan pemimpin parti itu yang 'terbuang' dalam muktamar lalu bahawa mereka sudah mengikat janji sebelum diberi kebenaran bertanding dalam pilihan raya.
Isu sama pernah timbul apabila Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berseteru dengan Datuk Dr Hasan Ali yang kini disingkirkan daripada PAS.
Keluar atau lompatlah
Menurut komentar Fathul Bari dalam akaun Facebooknya, sesuatu perjanjian dimeterai untuk memberikan ketaatan (dalam hal kebaikan), seperti seorang pemimpin diberi ketaatan oleh rakyatnya dengan tujuan supaya ketua tersebut bertanggungjawab ke atas urusan rakyat.
Katanya, dalam sejarah sumpah bai'ah yang menetapkan janji tertentu seperti jatuh talak diasaskan Hajjaj Yusof yang terkenal dengan kezalimannya ketika dilantik sebagai Gabenor Iraq.
"Bai'ah tersebut digelar oleh ulama sebagai Bai'ah Hajjajiyyah," katanya.
Menurut anak bekas Mufti Perlis itu, bai'ah sedemikian menyalahi al-Quran dan sunnah.
Namun, pada masa sama Fathul Bari berpendapat jika seseorang sudah melafazkan bai'ah sedemikian talak masih tetap terpakai jika mereka melanggar ikrar berkenaan.
"Sesiapa yang berbai'ah berkonsepkan Bai'ah Hajjajiyyah, walaupun ia menyelisihi sunnah contohnya jatuh talak isteri; secara sedar memahami apa yang dilafazkan, tanpa paksaan, dengan kerelaan dan niat, maka apabila dia melanggar sumpah bai'ah tersebut dengan sengaja, jatuhlah talak ke atas isterinya," katanya.
Beliau juga berpendapat ahli PAS berpegang dengan hukum tersebut untuk mengharuskan bentuk bai'ah seperti itu sebelum bertanding dalam pilihan raya.
"Jadi, jika tidak mahu terikat dengan syarat-syarat tersebut janganlah bertanding atas tiket PAS, kemudian keluar atau lompat ke parti lain," jelasnya.