Seorang pengarah syarikat menjadi individu ketiga yang ditahan reman oleh Pasukan Petugas Khas berhubung siasatan ke atas 1MDB.
Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini mengeluarkan perintah tahanan reman selama empat hari ke atas individu tersebut.
Individu pertama, seorang pengarah syarikat harta tanah dan pembinaan ditahan pada hari Isnin lalu dan dikenakan perintah tahanan reman pada hari Selasa.
Pada hari Rabu, seorang pengarah urusan syarikat yang mempunyai kaitan dengan SRC International Sdn Bhd turut ditahan reman.
SRC International sebelum ini merupakan anak syarikat 1MDB sebelum diletakkan bawah Kementerian Kewangan.
Pasukan Petugas Khas itu menyiasat dakwaan melibatkan 1MDB, firma pelaburan milik Kementerian Kewangan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku menteri kewangan merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.