Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adakah pasukan petugas khas sudah soal siasat PM?
Diterbitkan:  Jul 23, 2015 1:21 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Adakah Pasukan Petugas Khas telah mengambil kenyataan dan menyoal siasat Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung skandal firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), soal MP Pandan Rafizi Ramli.

Dalam kenyataannya, Rafizi yang juga naib presiden PKR berkata Najib adalah individu paling penting dalam keseluruhan siasatan itu.

"Soalan ini juga sudah tentu berlegar di pemikiran rakyat kebanyakannya dan tidak memberi gambaran yang baik kepada kebebasan Pasukan Petugas Khas ini sekiranya individu yang paling penting belum lagi disoalsiasat dan diambil kenyataan," katanya.

Najib adalah pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Pasukan petugas khas itu juga menyiasat dakwaan sejumlah RM2.6juta dana 1MDB disalurkan kepada akaun peribadi Najib.

Selain itu, Rafizi turut membangkitkan isu utama berkaitan skandal 1MDB yang berkait rapat dengan Najib.

Menurutnya, berdasarkan Fasal 117 Memorandum Pertubuhan 1MDB, semua keputusan pelaburan, hutang dan lain-lain yang dibuat oleh syarikat pelaburan itu perlu mendapat kelulusan daripada perdana menteri.

Ini bermakna, katanya, Najib mengetahui urusniaga yang kini dipersoalkan sehingga menyebabkan 1MDB mengumpul hutang lebih RM42 bilion.

Malah, kata Rafizi, wang sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa disalurkan dari dana 1MDB juga didedahkan disalur ke akaun persendirian Najib.

"Sementara ketua polis negara membuat pelbagai kenyataan untuk menyoal siasat dan menahan pelbagai pihak termasuk saya dan Tony Pua, rakyat masih tertunggu-tunggu bilakah pasukan penyiasat akan mula mengambil kenyataan dan menyoal Najib iaitu individu paling utama dalam skandal 1MDB ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS