Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat buat sementara waktu akses ke laman web pemberi maklumat yang berpangkalan di London, Sarawak Report, setelah menerima maklumat dan aduan dari orang ramai.
Dalam satu kenyataan akhbar, SKMM berkata ia menerima aduan bahawa laman web itu memaparkan kandungan yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sedang dalam siasatan.
"Sekatan berkenaan berkuatkuasa untuk sementara waktu sehingga tamatnya siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas," kata SKMM.
Ini merujuk kepada siasatan pasukan khas yang dianggotai Bank Negara, polis dan SPRM serta Jabatan Peguam Negara, terhadap 1MDB.
"Sehubungan itu, SKMM ingin memperingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat di laman sosial, terutamanya kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, lantaran ia mungkin kandungan palsu.
"Kandungan sedemikian dikhuatiri boleh mewujudkan keadaan tidak tenteram dan seterusnya menganggu-gugat kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi," kata SKMM.
Pihak berkuasa Malaysia menuduh Sarawak Report menyiarkan dokumen-dokumen yang didakwa diubahsuai yang diperolehi dari bekas pengarah PetroSaudi International Ltd (PSI), Xavier Andre Justo.
Justo ditahan di Thailand pada 22 Jun dan sedang disiasat oleh polis Thailand kerana didakwa cuba memeras ugut PSI dengan ancaman untuk mendedahkan dokumen sulit syarikat itu.