Satu laporan polis dibuat terhadap Sarawak Report kerana didakwa memalsukan dokumen berkaitan dengan 1MDB dan bersekongkol dengan wakil rakyat pembangkang.
Ini didedahkan oleh pengarah komunikasi strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan.
Dalam satu sidang akhbar hari ini, menteri itu berkata polis juga diberi video pengakuan seorang bekas editor Sarawak Report dan juga emel yang didakwa dari editor laman pemberi maklumat itu yang berpangkalan di London, Claire Rewcastle Brown.
Pada masa ini, kata Abdul Rahman, apa yang dimaksudkan oleh Rewcastle melalui email itu tidak dapat dipastikan
Abdul Rahman (gambar) pada mulanya enggan memberikan sebarang nama termasuk pemimpin-pemimpin pembangkang tersebut.
Bagaimanapun, beliau kemudiannya memberikan nombor siri laporan polis untuk pemberita membuat semakan.
Laporan polis, yang dilihat Malaysiakini , dibuat oleh Ramesh Rao Krishnan Naidu, seorang pemimpin NGO, dan dibuat sebelum tengah hari ini di Petaling Jaya.
Laporan itu menyebut bahawa Ramesh pergi ke Kuching untuk menemui seorang yang bernama Lester Leef s/o Albert Melanyi, yang didakwa telah mengaku terlibat dalam pemalsuan dokumen bersama-sama dengan Rewcastle.
Abdul Rahman kemudian meminta Interpol, United Kingdom dan polis Malaysia bekerjasama segera dan menyiasat dengan teliti emel Rewcastle itu.
Katanya, beliau yakin pihak polis akan berbuat demikian dengan cara yang paling profesional dan telus.
Malaysiakini sudah menghubungi Rewcastle dan sedang menunggu reaksinya.