Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kisah Siti Hasmah: Batik vs baju 'bling bling'
Diterbitkan:  Jul 11, 2015 12:00 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Isteri orang-orang kenamaan Malaysia memang terkenal dengan minat mendalam mereka terhadap batik.

Dalam hal ini, tiada apa istimewanya tentang obsesi Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, isteri kepada perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, daripada aspek lain, Siti Hasmah unik dengan caranya tersendiri apabila lebih suka kepada penampilan sederhana tanpa terlalu menonjol atau berlebih-lebihan.

Siapa sangka sikap itu turut terbentuk hasil “kritikan” Dr Mahathir, perdana menteri keempat, yang memang mengambil berat pada penampilan anggota keluarganya.

“Mungkin kerana beliau (Dr Mahathir) dilihat sebagai seseorang yang berpakaian kemas dan isterinya cincai. Dia boleh kritik isterinya.

"Pada saya ini baik, (mungkin) gincu, apa ke, tak kena, merah sangat ke, rambut tak betul. Tetapi jangan melebih-lebih (berpakaian). Jangan bling bling ,” kata Siti Hasmah sambil ketawa.

Mengulas lanjut tentang pakaian " bling bling ", Siti Hasmah dalam temubual penuh ceria itu berkata beliau bagaimanapun berpeluang memakai pakaian sebegitu dalam acara-acara tertentu.

“Kadang-kadang, terutamanya, apabila beliau (Dr Mahathir) ketika masih perdana menteri pergi ke istana dan itulah masalah kamu boleh bling bling sikit.

“Permaisuri agung, terutamanya ketika giliran Johor, akan beri arahan untuk semua... pakai bling bling,” kata Siti Hasmah lagi sambil tersenyum.

Bukan 'imej datin-datin'

Dalam wawancara di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Isnin, Siti Hasmah tampil dengan baju kurung merah hati dengan corak batik moden.

Tidak seperti “imej datin-datin” dengan gelang emas dan cincin besar, Siti Hasmah lebih selesa memakai rantai dan gelang mutiara.

Beliau juga sempat berkongsi tips dengan wartawan wanita Malaysiakini yang mewawancaranya tentang kelebihan mutiara kerana baginya mudah dipadankan.

“Saya tak pakai bling bling . Saya pakai mutiara. Mutiara lebih 'selamat'. Orang perempuan sila ingat perkara ini, cantik, paling sesuai dan padan dengan baju warna apa pun,” katanya sambil sempat menunjukkan mutiara yang dipakainya kepada Malaysiakini.

Berbual dengan Siti Hasmah sungguh terasa beliau tiada apa hendak disembunyikan.

Hasmah kelihatan senang sekali berkongsi minatnya tentang batik yang baginya penting untuk melambangkan penampilan identiti bangsa Malaysia.

Kerana itu, katanya, semasa Dr Mahathir menjadi peneraju negara, beliau merintis usaha memperkenalkan dan mengangkat imej batik Malaysia, yang kemudian diteruskan oleh isteri-isteri perdana menteri selepasnya.

Malah Hasmah gembira mengenakan pakaian itu ke luar negara.

“(Pusat batik) kata semua (batik) ini Datin punya. Saya kata, ya Allah! Dia kata kami tahu kamu akan buat baju dan pakai ke luar negara.

“Bila ke luar negara, tiada lain hanya batik, ia semacam arahan untuk saya supaya semua isteri menteri lain turut pakai batik ke luar negara,” kata Hasmah.

Yen Yen yang cantik

Mengimbas tahun-tahun silam, Siti Hasmah berkata beliau dan 40 wanita Umno pernah hadir ke acara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan berbaju batik sehingga mencuri perhatian pemimpin dunia.

“Semua orang terperanjat. Semua batik. Orang ramai terkejut kita ada baju secantik ini,” katanya lagi.

Sementara itu, walaupun dikaitkan dengan imej wanita Melayu, Siti Hasmah berkata corak batik kini sesuai digunakan untuk pelbagai jenis pakaian, termasuk pakaian tradisional bangsa lain.

“Untuk perempuan Cina, cuba tengok Tan Sri (Ng) Yen Yen. Semua OK, pakai cheongsam dengan kain batik. Cantik,” puji Siti Hasmah kepada bekas menteri kabinet daripada MCA.

Walaupun begitu, Hasmah juga mendedahkan bahawa beliau mementingkan keselesaan dan pakaian yang memudahkan semasa kerja.

Oleh yang demikian, mungkin ramai yang tidak tahu, Siti Hasmah semasa bertugas menjadi doktor di awal zaman merdeka memperjuangkan supaya jururawat memakai seluar panjang dan bukan skirt separas lutut yang menjadi kebiasaan waktu itu.

“Bila membidan, kan nampak lutut? Jadi mereka terpaksa guna sarung untuk tutup lutut. Begitu juga bila hendak mandikan anak (kecil) dan sebagainya.

“Jadi mujurlah lepas itu ada kesedaran bahawa jururawat kena pakai seluar,” katanya lagi.

Hasmah ialah wanita Melayu pertama berjaya menjadi doktor.

Beliau memulakan tugas di Kedah, negeri kelahiran suaminya, di mana Dr Mahathir — dikenali sebagai “Doktor Umno”— membuka klinik doktor Melayu pertama di Alor Setar.

Siri 1: Petua Hasmah: Jangan bersaing dengan suami

Siri 2: Doa isteri buat Mahathir di usia 90 tahun


Siti Hasman diwawancara oleh JIMADIE SHAH OTHMAN, NORMAN GOH dan YAP JIA HEE

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS