Garis panduan rasmi bagi menghadapi cuaca panas di negara ini kini dalam proses perbincangan yang melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata pihaknya kini dalam proses mengumpul maklumat untuk diserahkan kepada KKM bagi membantu mereka mengeluarkan garis panduan untuk rakyat Malaysia menghadapi cuaca panas yang tidak menentu ini.
"Pihak kami diminta oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk berkongsi maklumat tentang suhu dan kelembapan udara.
"Perbincangan kami ini masih di peringkat awal dan dalam perbincangan ini kami cuma bertindak sebagai badan agensi sokongan," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Baru-baru ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) mengeluarkan garis panduan menghadapi cuaca panas yang bertajuk (Heat Waves and Health: Guidance on Warning) bertujuan untuk menangani risiko kesihatan yang disebabkan oleh cuaca panas.
Garis panduan itu dikeluarkan berikutan ancaman cuaca panas yang berlaku di Eropah sekarang dan juga berikutan suhu yang melambung tinggi telah mengorbankan beratus-ratus orang di India dan Pakistan.
Mohd Hisham berkata fenomena cuaca panas yang berlaku di Eropah sekarang ini terjadi setiap tahun disebabkan oleh pergerakan matahari.
"Sekarang ini matahari sedang bergerak ke utara, sebelum ini kita lihat ia melalui India dan Pakistan, kini ia telah sampai ke Eropah.
"Fenomena ini kita panggil sebagai fenomena Solstice di mana kedudukan matahari berada pada latitud 23.5 darjah utara. Ini perkara yang berlaku setiap tahun, cuma tahun ini ia lebih panas," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC) Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata Malaysia sudah pun mempunyai panduan menghadapi cuaca panas, tetapi ia bukan garis panduan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan atau mana-mana badan bertanggungjawab.
"Sekiranya ada cadangan untuk mengeluarkan satu garis panduan rasmi, itu sememangnya lebih baik," katanya.
Azizan juga berkata cuaca panas boleh mendorong kepada peningkatan suhu dan rakyat di negara ini berpotensi mendapat strok haba.
"Pelbagai nasihat telah dikeluarkan oleh pihak berwajib yang tidak menggalakkan kita melakukan aktiviti luar kerana bimbang terjadinya heat stroke seperti yang berlaku di Pakistan.
"Cuma nasihat saya pada mereka ialah perbanyakkan minum air dan duduk di tempat yang teduh," katanya.
- Bernama