Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Doa isteri buat Mahathir di usia 90 tahun
Diterbitkan:  Jul 10, 2015 11:33 AM
Dikemaskini: 7:19 AM

Menyambut ulang tahun kelahirannya pada hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin tidak akan menerima apa-apa hadiah istimewa kecuali doa dan harapan suri hidupnya sejak selama 59 tahun.

Tun Dr Siti Hasmah Ali Mohamad Ali, 88, rakan sekolej yang kini ibu kepada tujuh anaknya - termasuk tiga anak angkat - juga tidak nampak apa lagi hadiah bagi mengejutkan suaminya itu.

“Saya tak pernah fikir nak beli beliau apa sebab beliau ada ada semuanya. Dulu-dulu, saya beli smoking jacket , yang baldu. Lepas mandi atau masa hendak pergi sarapan, macam (baju) yukata.

“Dan beliau selesa dengannya. Nak cari di sini susah. Saya pergi Jepun cari. Jadi beliau (sudah) ada ada semua yang beliau hendak, kan?

“Jam sudah ada, pen sudah ada. Saya kata tiada apa-apa lagi (untuk diberi),” kata Siti Hasmah sambil ketawa dalam wawancara dengan Malaysiakini di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Isnin.

Jadi apa sebenarnya yang Siti Hasmah akan berikan? Sebuah makan malam sederhana dan harapan supaya perjuangan suaminya selama 29 tahun dalam kerajaan dan 22 tahun sebagai perdana menteri terbalas.

Selain itu, sebagai peneman setia, sudah tentu beliau berdoa agar Mahathir terus sihat secara jasmani dan rohani, terutama apabila beliau masih aktif mencorakkan politik Malaysia ketika umur hampir seabad.

“Saya juga berdoa supaya beliau sedikit sebanyak dapatlah lihat perjuangannya selesai. Dalam apa cara, saya tidak tahu.

“Kalau adalah tanda-tanda yang perjuangannya akan selesai walau sedikit sebanyak atau Wawasan 2020 yang tercetus di mindanya sebelum ini akan menjadi kenyataan, tidak kiranya sama ada (kejayaan) kecil pun tak apa. Saya rasa beliau akan sudah cukup gembira,” kata Siti Hasmah.

Kongsi hidup, kongsi zodiak

Mahathir pada 1996, di tahun-tahun terakhir sebagai perdana menteri, pernah membaca sebuah sajak terkenal yang menjadi siulan sehingga ke hari ini: "Perjuangan Yang Belum Selesai".

Ia antaranya meluahkan perasaan sedih melihat bangsanya dijajah, terhina, dipersenda dan dilupakan.

Sajak itu, yang menjadi azimat perjuangan banyak pihak, turut dipamerkan dalam bingkai besar di tingkat bawah yayasan itu, di tengah-tengah bangunannya – yang sering dilintasi Siti Hasmah setiap kali mengikuti suaminya ke pejabat di usia-usia emas mereka.

Mahathir menyambut ulang tahun kelahirannya ke-90 hari ini, dua hari sebelum Hasmah yang akan menyambut acara sama – yang menjadikan mereka bukan sahaja berkongsi hidup, tetapi juga zodiak (Cancer).

Tetapi ketika umur 90, walaupun sudah bersara sebagai perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia, beliau masih giat memainkan peranan memperjuangkan apa yang dipercayainya.

Setelah memainkan peranan menjatuhkan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mahathir kini menggandakan asakan terhadap peneraju kepimpinan negara Datuk Seri Najib Razak yang kewibawaannya dipertikai susulan dakwaan skandal 1MDB, syarikat pelaburan negara yang teruk terbeban hutang.

Cuma sepuluh tahun untuk mencapai umur tiga angka, Mahathir terus menulis di blog, bercakap kepada media, melayani wartawan antarabangsa, berceramah di sini sana dan pada masa yang sama terpaksa menangkis kritikan demi kritikan balas daripada golongan pendukung Najib.

Malah, di kaca televisyen setiap malam, laporan berita menggambarkan tokoh Umno yang pernah digelar sebagai “negarawan” itu sebagai pengkhianat.

Mungkin ramai yang tidak tahu apa sebenarnya perasaan Siti Hasmah, yang terkenal dengan kelembutan dan sifat keibuannya, tentang perkara itu.

Enggan campur politik

Menegaskan beliau sentiasa berdiri di belakang suami tercintanya, Hasmah mengaku kasihankan Mahathir, yang secara berjenaka digelarkannya sebagai “budak daripada negeri Jelapang Padi”.

“Bukan penat, (tetapi) kasihan,” katanya ketika ditanya perkara itu.

Ditanya kenapa hanya Mahathir dan kenapa tiada orang lain yang tampil memikul tanggungjawab itu, Hasmah memberikan jawapan mudah.

“Senang saja jawabnya, orang lain tak mahu nak bercakap,” katanya sambil berhenti sekejap sebelum menyambung, “Eh, kita masuk bab politik ah? No, no, no!

Siti Hasmah memang terkenal sebagai seorang isteri yang tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal politik suaminya sejak daripada awal penyertaan “Doktor Umno” itu dalam politik tanah air.

Beliau malah daripada awal memberitahu Malaysiakini tidak akan bercakap soal politik dalam wawancara eksklusif itu.

Sementara itu, ditanya apa hadiah yang beliau mahukan daripada Mahathir pula, Siti Hasmah menjawab beliau tidak harapkan apa-apa.

Beliau juga mendedahkan Mahathir juga lebih mementingkan hadiah yang bermakna, walaupun murah, berbanding yang mahal.

“Yang paling menarik bila beliau beli bingkai gambar dengan gambar kami semua (sekeluarga) dalamnya, betapa bagusnya,” kata Hasmah, yang sentiasa tersenyum dan mesra dalam wawancara itu.


Siti Hasmah diwawancara oleh JIMADIE SHAH OTHMAN, NORMAN GOH dan YAP JIA HEE.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS