Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO: 14,000 peneroka mangsa 'dendam' Najib
Diterbitkan:  Jul 8, 2015 12:41 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) membantah keputusan Felda yang tidak menyenaraikan 13,947 peneroka untuk menerima insentif hari raya seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak semalam.

Presidennya Mazlan Aliman berkata tindakan itu didakwanya "zalim dan balas dendam" dan mengulangi langkah "diskriminasi" tahun lalu apabila peneroka dinafikan bonus sebanyak RM947.78 ekoran tindakan mereka menyaman terhadap agensi itu.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata NGO itu berasa dukacita dan kesal dengan tindakan agensi tanah itu.

Untuk rekod, katanya, peneroka yang tidak bersama Felda atau melaksanakan tanam semula secara persendirian adalah sebahagian kecil peneroka yang gigih berdikari mengusahakan kebun seluas 10 ekar milik mereka.

"Namun, sebahagian besar dari kelompok ini masih menghantar Buah Tandan Segar (BTS) ke kilang sawit Felda.

"Jika mereka bertindak menyaman Felda dalam kes Kadar Perahan Gred (KPG), ia adalah hak peneroka yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Ini kerana usaha dan rundingan telah menemui jalan buntu, manakala ketidakadilan dalam kes KPG terus berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Najib mengumumkan seramai 98,688 peneroka menerima durian runtuh menerusi pembayaran dividen Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) dan duit raya yang keseluruhannya berjumlah RM88.8 juta yang akan dibayar mulai 13 Julai ini.

Beliau berkata peneroka yang bersama Felda layak menerima insentif raya itu sebanyak RM900 dalam bentuk dividen dan duit raya.

Katanya lagi, peneroka tidak bersama Felda antara lain tidak menanam semula bersama Felda, tidak menghantar hasil ladang kepada Felda, berurus niaga tanah tanpa kebenaran dan menyaman Felda, tidak akan menerimanya.

Terdapat seramai 112,635 peneroka di seluruh negara.

Sehubungan itu, Mazlan berkata pihaknya menggesa Felda menarik balik keputusan yang dibuat itu dan membuat pembayaran insentif itu kepada semua 112,635 peneroka pada tarikh itu.

Pada masa yang sama, beliau Beliau turut merayu campur tangan Najib dan budi baik Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada supaya tindakan diskriminasi tersebut dihentikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS