Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib mahu WSJ sahkan dakwaan dalam 14 hari
Diterbitkan:  Jul 8, 2015 9:16 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Wall Street Journal (WSJ) berkaitan laporannya yang mendakwa AS$700 juta (RM2.6 bilion) dari dana 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Bagaimanapun, ia bukan surat tuntutan seperti kebiasaannya, sebaliknya pasukan peguam Najib menghantar emel kepada Dow Jones, pemilik WSJ, meminta penerbitan itu mengesahkan sama ada ia mempertahankan laporannya.

Perdana Menteri memberi tempoh 14 hari kepada penerbitan itu untuk menjawabnya.

"Kami diarahkan oleh pelanggan kami untuk mendapatkan pengesahan sama ada ia adalah pendirian anda, seperti dalam artikel itu, bahawa pelanggan kami menyalahgunakan hampir AS $ 700 juta dari 1MDB?

"Kami diarahkan untuk mendapatkan pendirian anda kerana artikel itu secara kolektif menyarankan bahawa anda tidak pasti tentang 'sumber asal wang itu dan apa yang berlaku kepada wang itu', manakala intipati umum artikel mewujudkan gambaran yang jelas bahawa pelanggan kami telah menyalahgunakan AS$700 juta milik 1MDB," kata surat yang dihantar melalui emel itu.

Surat itu telah disediakan oleh firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, yang mengendalikan beberapa saman fitnah lain bagi pihak Najib.

Surat itu tertumpu kepada dua artikel, bertajuk "Malaysia leader's accounts probed" yang disiarkan pada 2 Julai dan "Scandal in Malaysia" yang disiarkan pada 6 Julai, kedua-duanya ditulis oleh Simon Clark dan Tom Wright.

Surat itu mahu akhbar antarabangsa itu menyatakan tanpa ragu-ragu dan dengan jelas sama ada ia adalah hujahnya bahawa pelanggannya telah menyalahgunakan kira-kira AS$700 juta milik 1MDB.

Berikutan keseriusan tuduhan terhadap pelanggannya dalam laporan tersebut, katanya, pengesahan itu diperlukan bagi membolehkan pihaknya menasihati pelanggannya tentang tindakan undang-undang yang sesuai berhubung dengan penerbitan artikel-artikel itu.

[Baca berita penuh/asal]

 
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS