Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: Tuduhan pada PM perlu berasas, saksi adil
Diterbitkan:  Jul 7, 2015 11:35 AM
Dikemaskini: 3:38 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sebarang tuduhan dan dakwaan salah laku yang dilemparkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu berasas dan memerlukan saksi.

MP Marang berkata Najib bukan malaikat tetapi manusia biasa dan saksi perlu dikemukakan bagi mengesahkan dakwaan padanya, lapor portal Astro Awani hari ini.

"Pendirian kita pendirian Islam. Kalau tuduhan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kena ada empat saksi, sama juga dengan tuduhan ke atas Najib, kena ada saksi juga... saksi yang adil.

"Kita ikut asas Islam, sikap yang baik kita sokong, yang tidak baik kita tentang,” katanya seperti yang dilapor portal berita itu hari ini.

Hadi mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din sebelum ini yang menyifatkan laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa terdapat aliran wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi Najib, sebagai "tidak logik".

Haron dilapor berkata logik akal menyatakan jika seseorang mahu mengambil dana awam ke akaun persendirian, mereka tidak akan melakukan sebegitu sebaliknya akan disalurkan ke akaun rahsia.

Laporan WSJ mendakwa hampir USD$700 juta wang dana 1MDB disalurkan ke akaun persendirian atas nama "Dato' Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak" menjelang pilihan raya umum ke-13.

 

Bagaimanapun, Najib menafikan dakwaan itu dan kini berdepan gesaan supaya mengundur diri bagi membolehkan siasatan telus dilakukan.

Sebuah pasukan khas yang disertai Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan WSJ itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS