Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Perusahaan mengarahkan bekas Timbalan Pendaftar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dibayar RM200,000 sebagai penyelesaian kes pemecatannya oleh kerajaan Kelantan, hari ini.

Che Ibrahim Mohamed dimaklumkan mengenai pemecatan itu pada 1 Februari 2014 melalui surat ditandatangani Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Bagaimanapun, menurut Che Ibrahim yang telah berkhidmat di KIAS selama 14 tahun, beliau tidak dimaklumkan sebab pemecatannya itu.

Selepas menerima surat berkenaan, Che Ibrahim menceritakan beliau kemudian menghantar surat kepada Mohd Amar ( gambar ) untuk meminta penjelasan tetapi ia dibalas tanpa memberi sebarang sebab.

"Mohd Amar menyebut: Tuan sedia maklum dengan pemecatan tuan. Cuma itu," katanya kepada Malaysiakini

Che Ibrahim pernah berkhidmat sebagai exco Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Kata Che Ibrahim, di Mahkamah Perusahaan dia meminta untuk diambil bekerja semula di KIAS kerana menganggap pemecatan berkenaan tidak sah.

"Selepas berunding dan sebagai penyelesaian, KIAS perlu membayar RM200,000," katanya.

Nak larang tak boleh

Walaupun begitu, Che Ibrahim yang juga Ketua PAS Cawangan Kepala Jambatan, Pasir Pekan, Tumpat beliau akan memfailkan saman sivil terhadap KIAS kerana pemecatan berkenaan menyebabkan wujudnya pandangan negatif masyarakat terhadap dirinya.

Selepas diberhentikan, kata Che Ibrahim, dia tidak bekerja selama lebih setahun dan terpaksa melakukan pelbagai kerja lain, termasuk menoreh getah, untuk menyara 10 orang anaknya.

"Saya merasakan pemecatan ini menjejaskan nama baik saya dan telah menyusahkan saya. Maka saya akan berbincang dengan peguam saya untuk memfailkan satu saman sivil di Mahkamah Tinggi Kota Bharu dalam masa terdekat," katanya lagi.

Ketika ditanya adakah beliau mengetahui jika wujud punca lain mengapa dipecat, Che Ibrahim berkata ia, mungkin disebabkan oleh "pertukaran" kepimpinan exco kerajaan negeri apabila Datuk Husam Musa digugurkan.

"Masa itu isu pertembungan kumpulan Husam dan (Mohd) Amar. Husam digugurkan dari exco, jadi kemungkinan ada kaitan, saya tidak tahu.

"Saya juga pernah bincang secara tak rasmi dengan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob tetapi Menteri Besar kata dia  tak bersedia bincang isu ini sebab ia keputusan parti di peringkat negeri," katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Amar ketika dihubungi Malaysiakini enggan menjawab berhubung kes pemecatan Che Ibrahim.

Naib Presiden PAS itu hanya berkata: "Nak buat apa komen lagi, kes dah selesai. Kalau dia nak saman itu hak dia, kami nak larang tak boleh," katanya ringkas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS