Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganjur Nothing2Hide lepas jawatan Umno
Diterbitkan:  Jun 27, 2015 8:55 AM
Dikemaskini: 4:39 AM

Ketua Pemuda Umno Kluang, Datuk Khairul Anwar Rahmat yang sebelum ini menganjurkan program #Nothing2Hide, meletakkan semua jawatannya dalam parti itu "bagi meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan di dalam dan luar negara serta perluasan operasi korporat firma" milik beliau.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Khairul yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di Berita Harian berkata keputusan berkenaan diambil selepas mendapat restu daripada ibu serta mengadakan perbincangan mendalam bersama ahli keluarga.

"Mohon doakan saya berjaya dalam apa jua lapangan yang bakal saya ceburi kelak," katanya.

Selain memegang jawatang Ketua Pemuda Umno Kluang, Khairul juga adalah Naik Ketua Umno bahagian itu, Naib Ketua Pemuda Umno Johor dan Ketua Sekretariat Perundangan Umno Malaysia.

Peletakan jawatan Khairul Anwar pada mulanya diumumkan Unit Komunikasi Korporat syarikatnya, Khairul Group, sebelum beliau sendiri kemudian mengeluarkan kenyataan mengesahkan perkembangan tersebut.

Sokong TMJ

Serentak itu juga, kata kenyataan kumpulan berkenaan, Khairul Group mengumumkan rancangan mereka meneruskan operasi firma itu ke Asia Barat dan Eropah yang tertangguh disebabkan pengerusinya masih bergiat aktif dalam platform politik tempatan.

"Semoga langkah terbaru ini dapat memberi manfaat kepada firma terutama bagi memuktamadkan beberapa rundingan dalam bidang hartanah, perundangan dan mediasi antarabangsa," kata kenyataan itu.

Sebelum ini Khairul Anwar - seorang peguam - bertanggungjawab menganjurkan program wacana Nothing2Hide yang sepatutnya menjadi tempat untuk Datuk Seri Najib Razak mengadakan dialog bersama sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun program itu tergendala dan dibatalkan selepas mendapat arahan daripada polis .

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang datang ke majlis itu untuk bertanyakan soalan mengenai 1MDB kemudian sempat berucap beberapa minit sebelum diminta berhenti oleh polis.

Kelmarin, Khairul Anwar menyatakan sokongan kepada peringatan Tunku  Mahkota Johor  Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya anggota politik mendahulukan khidmat untuk rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS