Naib Ketua Pemuda Umno Johor Datuk Khairul Anwar Rahmat hari ini menyatakan sokongan keapda peringatan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya anggota politik mendahulukan khidmat untuk rakyat.
"Islam tidak mengajar kita terlalu taksub dengan fikiran kita sendiri, atau dengan kelompok sesama kita sahaja sehingga kita menutup mata terhadap pandangan orang lain.
"Kepentingan dan kerakusan peribadi serta ideologi politik yang sempit wajar diketepikan demi mencapai konsep negara makmur yang diberkati Allah," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memuji Tunku Ismail yang begitu baik mengungkapkan konsep kepimpinan dalam Islam dan menyatakan bahawa kebajikan dan kemaslahatan rakyat sepatutnya diberi keutamaan.
Ini adalah kenyataan pertama Khairul, yang menjadi penganjur dialog 1MDB 'Nothing2Hide', yang dikeluarkan mengenai Tengku Mahkota Johor sejak isu dialog itu berlaku.
Tunku Ismail membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak kerana tidak hadir dalam dialog itu pada 5 Jun. Najib tidak hadir disebabkan masalah keselamatan.