Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kononnya, 65 peratus penyokong PAS akan bersama kumpulan "profesional" yang ingin menubuhkan parti Islam baru.

Kononnya lagi, jika parti Islam baru ini bertanding tiga penjuru dengan PAS dan Umno, parti baru ini boleh menang!

Kononnya, saat ini, Umno berada dalam keadaan yang sangat merosot.

Jika pilihan raya umum diadakan sekarang, dengan pelbagai isu seperti GST dan 1MDB, Umno hanya menang lebih 40 kerusi parlimen!

Beginilah garis berhujah untuk mengolah persetujuan semua agar parti baru ini dapat diwujudkan.

Dan, lebih lucu lagi, projek menubuhkan parti baru ini kelihatan lebih ghairah dijayakan berbanding kempen memastikan pemimpin "profesional" menang dalam pemilihan PAS awal bulan ini.

Pemimpin-pemimpin ini yang kelihatan tidak bersatu sebelumnya, yang tidak menduga perancangan rapi dan "serangan hendap" aliran pro-Abdul Hadi Awang, tiba-tiba menyedari mereka masih popular dan masih mendapat dukungan.

Namun, ada beberapa masalah konteks dan latar peristiwa yang mengaburi projek parti baru Islam "inklusif" tersebut.

Pertama, ia akan dianggap sarang pemimpin yang tewas, kecewa dan takut tidak dapat bertanding lagi dalam pilihan raya umum nanti (melalui tiket PAS).

Bayangan agenda DAP

Maksudnya, mereka ini golongan "opportunis" (penting diri) yang tersisih dan patah hati tetapi tidak cerdik dalam politik sehingga tidak menduga diserang hendap sebegitu rupa oleh kumpulan "ustaz muda" (istilah saya, neo-Taliban).

Kedua, parti baru ini muncul dalam seruan DAP ingin menubuhkan "gabungan baru" pembangkang tanpa PAS.

Yakni, inisiatif ini selalu dibayangi oleh agenda tersembunyi DAP, sebuah parti yang dimomokkan sebegitu rupa (betul atau salah) sehingga tidak membantu citra positif kumpulan aliran "profesional" PAS.

Ketiga, parti baru Islam ini kemungkinan besar tidak mengutamakan agenda hudud, syariah dan Negara Islam seperti mana sikap DAP yang menolak agenda yang sudah menjadi darah daging PAS.

Sekali lagi, parti baru ini akan dianggap kowtow pada DAP. Tanggapan seumpama ini merosakkan imej parti baru sebelum ia ditubuhkan!

Keempat adalah justifikasi asas kewujudan parti baru ini berbanding PAS. Apakah keistimewaannya dan di mana silapnya PAS sehingga harus ada satu lagi parti Islam?

Jika tidak kemas, rasional tapak kewujudannya akan dipertikaikan banyak pihak, khususnya kenapa perlu parti lain sewaktu PAS dirasakan "tidak menyeleweng".

Orang nampak, PAS "tidak buat salah apa-apa" kecuali mahukan hudud dan golongan "profesional" ini tewas. Maka, kenapa perlu sebuah parti baru?

Latar peristiwa pergaduhan PAS-DAP dan kaitan DAP dengan pemimpin aliran "profesional" menjelang muktamar akan diungkit-ungkit untuk melemahkan asas kewujudannya.

Berebut penyokong

Kelima, dan yang paling penting, apa nilai tambah yang parti baru ini boleh sumbangkan kepada barisan pembangkang?

Atau, ia hanya memecahkan lagi kesatuan pembangkang selepas PAS dan DAP mencetuskan karenah politik yang memecahkan Pakatan Rakyat?

Mari kita teliti: Apa bezanya parti-parti Tengku Razaleigh Hamzah (1990) dan Anwar Ibrahim (1999) berbanding parti baru Islam?

Tengku Razaleigh dan Anwar memecahkan ketumbukan "gerombolan" Umno. Mereka menggugat dan menyerang Umno dari dalam dan merobek-robek keutuhan parti itu, tonggak pemerintahan BN.

Oleh itu, Tengku Razaleigh dan Anwar memberikan "nilai tambah" kepada barisan pembangkang.

Nilai tambah ini menjadikan Ku Li dan Anwar "gadis manis" yang mahu cepat-cepat dipinang oleh parti-parti tradisi, PAS dan DAP. Seperti "nilai tambah" PBS kepada pembangkang menjelang pilihan raya umum 1990.

Tetapi kewujudan parti baru Islam ini dilihat hanya perebutan pengkalan sedia ada pengikut pembangkang, termasuk PKR dan PAS.

Jadi, persaingan PAS-DAP yang membawa kelahiran parti baru Islam tidak ubah seperti permainan bongkah-bongkah Lego.

Jumlah bongkahnya kekal sama (malah mungkin berkurangan akibat penyokong yang kecewa), hanya rekaan Lego sahaja diubah-ubah.

Tawaran nilai tambah

Apa lagi daya tarik parti baru ini untuk meluaskan pengkalan penyokong pembangkang? Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam? Dari mana mereka datang?

Beberapa hari lalu, Anwar mengeluarkan kenyataan: "Saya percaya bahawa pembangkang, setelah disusun semula dengan kekuatan baharu termasuk NGO-NGO, akan muncul bersatu dan lebih kuat selepas ini."

Tetapi sedarkah beliau bahawa mana lagi NGO yang beliau boleh harapkan? Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) atau Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)?

Semua NGO itu, termasuk bukan Melayu, pernah menyokong beliau dan pembangkang sejak 1998 lagi!

Jadi, di mana "nilai tambah" parti baru? Daripada PERKASA, ISMA atau Pekida? Daripada Belia 4B, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) atau persatuan-persatuan bekas pelajar sekolah berasrama penuh?

"Nilai tambah" yang saya maksudkan itu seumpama dampak dan krisis yang dicetuskan oleh gelombang (ulang: gelombang) Tengku Razaleigh dan Anwar, khususnya di awal-awal krisis menjelang pilihan raya 1990 dan 1999.

Dua tokoh nasional itu, yang berpengalaman luas dalam kerajaan dan berkedudukan kanan dalam parti pemerintah utama, menubuhkan parti baru selepas disingkirkan.

Tetapi siapa tokoh-tokoh parti Islam baru ini yang boleh mencipta gelombang nilai tambah pada pembangkang?

Parti baru ini (termasuk G18 atau PasMa) tidak mencipta nilai tambah. Semua kumpulan ini hanya berebut-rebut constituents (penyokong) pembangkang sedia ada; yang boleh disalurkan oleh PKR dan DAP.

Malah, parti baru ini bukan sahaja meretakkan lagi hubungannya dengan PAS, dan berpotensi menimbulkan konflik dengan PKR!

Sebabnya sasaran kerusi dan pangkalan sokongan parti baru itu, khususnya di pantai barat Semenanjung, hampir-hampir sama dengan PKR.

Undang kebencian

Tetapi sebenarnya nilai tambah ini lebih kritikal saat ini berbanding zaman Tengku Razaleigh dan era Anwar (dulu) untuk menampung kekurangan undi (offset) akibat perpecahan dengan PAS.

Jika nilai tambah ini tidak wujud – atau wujud minimal sahaja, tidak mencipta "gelombang" – parti baru Islam itu sedang melakukan eksperimen besar.

Eksperimen yang boleh menggugat Kelantan, Selangor dan gagal menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen – yakni "penanda aras" pencapaian terbaik pembangkang.

Risiko ini sangat besar kepada pembangkang.

Risiko ini, jika gagal, akan dimaki habis-habisan oleh penyokong Pakatan Rakyat, khususnya "generasi Ini Kalilah" 2013, yang kini makin keliru dan kecewa dengan permainan politik berlebihan pembangkang.

Parti baru Islam itu didirikan atas kemarahan mereka kepada PAS tetapi eksperimen mereka itu boleh menyebabkan hilangnya Selangor atau BN mendapat semula dua pertiga.

Apakah wajar risiko sebesar itu diambil demi menyelamatkan beberapa tokoh pemimpin PAS yang tewas baru-baru ini?

Apakah wajar risiko sebesar itu diambil demi melayan sikap DAP yang menolak PAS?

Bagaimanapun, wujud atau tidak wujud parti baru, ada satu lagi dilema yang semua pembangkang harus bertanya secara jujur dan strategik: Apakah PAS mampu mempertahankan kerusi-kerusinya, khususnya di pantai barat Semenanjung?

Apakah PAS dapat dipercayai untuk meyakinkan kita bahawa ia masih relevan sebagai pembangkang, sekali lagi khususnya di pantai barat Semenanjung?


FATHI ARIS OMAR menghuraikan lebih lanjut isu-isu politik di Facebook . Beliau dapat dihubungi di [email protected] .


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS