Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Perhitungan hidup mati saya dalam PAS'
Diterbitkan:  Jun 22, 2015 8:00 AM
Dikemaskini: 1:25 AM

Bekas naib presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata keputusan sama ada menerima atau menolak pelantikan sebagai ahli jawatankuasa PAS pusat adalah "perhitungan hidup mati karier beliau dalam PAS.

Menurutnya, beliau masih belum menjawab secara rasmi "tetapi beberapa jam yang lalu, telah riuh rendah di media baru tentang berita perlantikan saya sebagai AJK Pusat."

"Ada yang memberi nasihat dan memujuk. Ada yang memberi amaran dan ancaman memutuskan persahabatan," katanya dalam catatan di Facebook semalam, sambil menambah beliau "tak boleh marah-marah"

"Itulah asam garam dunia politik yang saya telah pilih dengan jiwa raga saya.

"Kesian saya. Sudahlah sebelum Muktamar ditohmah fitnah , dah kalah pun kena belasah lagi," tegasnya.

Dalam catatan itu, beliau berkata pejabat agung PAS telah menyerahkan surat rasmi perlantikannya  sebagai AJK PAS pusat.

"Bermakna bermula lagi satu episod dalam kehidupan saya untuk membuat satu keputusan penting.

"Keputusan yang bakal saya buat (sama ada menerima atau menolak) adalah perhitungan hidup mati karier saya dalam PAS," katanya.

Mengenai tawaran tersebut,  Salahuddin berkata: "Saya akan membuat keputusan dalam masa yang terdekat (mungkin selepas kita menyambut Syawal yang mulia).

"Almarhum Ustaz Fadhil Nor pernah menasihati saya dalam membuat keputusan penting dalam perjuangan politik.

"Kita boleh minta dan dengar nasihat dari orang lain. Jadilah pendengar yang baik. Buatlah keputusan atas pertimbangan sendiri. Jangan izinkan sesiapa pun "dictate" (mengatur) kita dalam hidup ini."

Setelah 35 tahun, tegas Salahuddin, beliau faham apa maksud nasihat Ustsz Fadhil.

"Betul atau salah keputusan yang saya akan buat, diri saya sendiri lah yang akan menanggungnya sepanjang hayat.

"Orang lain hanya mampu ketawa dan bersedih buat setika waktu saja.

"Pada tahap ini saya pasrah sepenuhnya pada pencipta saya Allah SWT.

"Hanya Dia tempat saya mohon petunjuk dan Maha Mengetahui yang terbaik untuk hambaNya seperti saya," katanya.

Menurut Salahuddin, perjuangan beliau dalam PAS bermula sejak tahun 1981.

"Bermula dengan timbalan yang dipertua kawasan Pontian hingga naib presiden PAS 2015," katanya.

 
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS