DAP memberi jaminan terus bekerjasama dengan PKR serta menteri besarnya Azmin Ali di Selangor walaupun telah mengumumkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.
Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata mereka juga akan bekerjasama dengan mana-mana pihak demi menamatkan pentadbiran Umno dan BN serta membentuk semula politik Malaysia.
“DAP akan terus bergerak ke arah gabungan baru lebih meluas dan berprinsip yang akan muncul untuk mengisi kekosongan politik yang boleh menyalakan semula harapan perubahan untuk merealisasikan impian Malaysia untuk masa depan lebih baik untuk semua,” katanya.
Lim juga berkata DAP akan menyokong kepimpinan Azmin untuk “membentuk semula” kerajaan negeri dengan gabungan berdasar manifesto Pakatan 2013 yang mendapat mandat lebih 60 peratus dalam pilihan raya umum.
Lim mengumumkan menerima keputusan muktamar PAS yang meluluskan usul memutuskan hubungan dengan mereka, sekali gus membuatkan gabungan pembangkang tidak lagi wujud .
Pakatan ditubuhkan pada 1 April 2008 selepas tsunami politik pembangkang yang melanda dalam pilihan raya umum ke-12 pada tahun itu.
DAP juga senaraikan tindak-tanduk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak sejak setahun lalu yang didakwa gagal patuh kepada keputusan majlis pimpinan Pakatan.