Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kenyataan Nik Abduh gambaran kekolotan'
Diterbitkan:  Jun 13, 2015 1:00 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz diingatkan supaya menghormati wanita dan tidak menjadikan kaum itu sebagai objek sindiran.

Timbalan Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang Kasthuri Patto berkata, merujuk kepada kenyataan yang dibuat Nik Abduh semalam, ia dilihat bukan sahaja menghina wanita sebagai objek ejekan tetapi berbaur seksis.

"Apakah motif sebenar Ketua Dewan Pemuda PAS dalam ejekannya selain menghina perempuan dan menganggapnya sebagai satu objek sindiran, perli dan ejekan?

"Agama Islam mengajar wanita supaya dihormati dan dilindungi. Janganlah pula Ketua Pemuda Dewan PAS termakan dengan umpan sesetengah pihak bagi memuaskan nafsu jahil mereka, bak kata pepatah habis cupak dari pelelehan.

"Kenyataan berbaur seksis Nik Abduh terhadap wanita di negara ini menunjukkan kekolotan minda seseorang yang sepatutnya dilihat sebagai pembawa obor generasi muda partinya," kata Kasthuri dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Nik Abduh memperkecilkan DAP yang digambarkan tidak cukup jantan untuk berpisah dengan parti Islam itu.

Mengumpamakan seperti hubungan suami isteri, ketua pemuda baru PAS itu berkata DAP seperti tidak yakin hendak " melafazkan cerai " terhadap PAS.

Selain itu, Ahli Parlimen Batu Kawan berkenaan turut melahirkan kekecewa apabila kenyataan tersebut dikeluarkan oleh seorang ahli politik daripada PAS dan bukannya BN.

Jelas Kasthuri, kenyataan itu dilihat mempunyai sangkaan buruk terhadap kaum wanita dan menunjukkan pemikrian Ahli Parlimen Pasir Mas itu yang "kuno" serta "low-standrad" kerana mengheret keperibadian wanita dalam isu politik.

"Mungkin Nik Abduh sudah lupa diri untuk satu tempoh yang agak lama sehingga mempertuhan ideologi patriarki dan dengan bongkak mengeluarkan kenyataan bahawa PAS bersifat jantan dan DAP bersifat perempuan walaupun perbandingan tersebut tidak masuk akal langsung," katanya lagi.

Justeru, Kasthuri mengingatkan bahawa seorang pemimpin tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan tidak matang seperti itu memandangkan pada pilihan raya umum yang lalu, pengundi wanita lebih ramai iaitu 6,664,474 (50.21 peratus) berbanding 6,603,528 (49.77 peratus) lelaki.

"Ini bererti peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya umum ke-13 menunjukkan lebih ramai pengundi wanita telah keluar membuang undi berbanding dengan lelaki dan kenyataannya itu telah mengkhianati kepercayaan semua pengundinya.

"Bukan sahaja martabat wanita digadaikan dan diperlekehkan sebegini. Sebagai seorang anak muda, pemuda-pemudi lain juga berasa tersinggung dan malu dengan kenyataan seorang dari 'zaman batu' tetapi bertopengkan pemuda yang seakan berdarah pahlawan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS