Jika melihat ke arah pentas tanpa sebarang maklumat latar, kita mungkin tidak bersalah untuk menyangka Awie dan Wings sebenarnya sedang sibuk mengajak orang bertempur.
Manakan tidak. Semua pemuzik lengkap berpakaian bak panglima.
Pembukaan acara dimulakan dengan pencak silat dan ketika Awie, Black, Joe dan Eddie muncul, mereka tampil bagaikan pahlawan yang tidak sabar-sabar ke medan juang.
Apa yang membezakan mereka dengan laksamana lain ialah senjata. Mereka bersenjatakan alat muzik.
Di tengah persembahan lagu rock, ada pula pertarungan.
Mula-mula sekadar acah-acah, kemudian melarat ke keris. Akhirnya menggunakan parang yang ditetak dan ditebas. Percikan api ketika dua batang besi itu berlaga boleh mengilukan rasa juga.
Kata-kata yang diungkap anggota Wings juga tidak kalah semangatnya.
Perjalanan konsert Bongkar – Ta’kan Melayu Hilang Di Dunia berlangsung dengan tegang – sehinggalah tiba giliran si Eddie yang selamba menyampaikan monolognya.
Hanya ketika itu penonton teringat kepada kemampuan masing-masing untuk ketawa.
Namun ia tidak lama sangat. Wings kemudian mengajar penonton untuk berzikir bersama alunan gorengan gitar elektrik Joe.
Pada suatu ketika mereka bersama-sama mengalunkan Asma ul-Husna serta berselawat. Siap pula dengan penyanyi latar berjubah putih.
Ada silat, rock, dan selawat.
Sebenarnya kata Awie konsert itu bukan dibuat sembarangan.
Katanya, ada mesej yang ingin disampaikan mereka melalui gabungan muzik rock dan tradisional.
“Sekarang Melayu pun dah berpecah kepada tiga kumpulan,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di Istana Budaya malam tadi.
Kata Awie, Melayu hari ini "dah teruk" kerana perpecahan itu.
"Saya duduk dalam politik tapi bukan sepenuh masa. Namun saya mengambil iktibar dari pengalaman lalu dan terfikir, mengapa benda macam ni berlaku.
"Terfikir macam mana nak harmonikan Melayu. Persembahan ni bukan racist . Kita buat macam ni untuk memartabatkan orang kita, bangsa kita, bahasa kita supaya adik di luar sana dapat melihat keistimewaan Melayu," katanya.
Eksperimen Wings
Konsert berkenaan memang unik. Di belakang suara bertenaga Awie, garing gitar Joe, hentakan dram Black dan getar bass Eddie ada Orkestra Tradisional Malaysia untuk melengkapkan alunan bunyi-bunyiannya.
Kata Awie, konsert bermula malam ini sehingga 16 Jun nanti adalah hasil eksperimen Wings untuk tampil lain dari yang lain.
Kumpulan yang diasaskan pada 1985 itu juga mengisi ruang di atas pentas dengan menyanyikan lagu dipopularkan kumpulan Blues Gang, Ibu.
Ketika tiba giliran Awie bercakap, dia mengajak orang ramai membuat ‘pembaharuan’ pada Aidilfitri nanti.
Awie mengajar semua Melayu berpakaian lengkap seperti anggota Wings ketika mengadakan rumah terbuka.