Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usul 'mengelirukan', Hatta gesa nyatakan pendirian

Bekas pemimpin pusat PAS, Dr Hatta Ramli berkata barisan kepimpinan baru parti itu harus menyatakan pendirian mereka mengenai hubungan dalam Pakatan Rakyat kerana timbul kekeliruan berhubung perkara itu.

Ia berikutan PAS menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP dalam muktamar minggu lalu.

“Biarkan kepimpinan baru yang jawab persoalan itu (PAS dalam Pakatan atau tidak). Dalam muktamar keputusan untuk kekal dalam Pakatan dan berpisah dengan DAP pun adalah mengelirukan.

“Jadi pemimpin baru mesti memberikan jawapan yang tepat tentang apa yang perlu dilakukan sama ada dengan PAS atau Pakatan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Impian Kelantan di ibu pejabat DAP hari ini.

Hatta yang juga MP Kuala Krai berkata, buat ketika ini hanya kepimpinan yang baru sahaja dapat menjawab perkara itu.

“Apa tindakan pun yang diambil perlu mengambil kira perasaan parti lain yang ada dalam Pakatan kita tidak boleh hanya keluarkan kenyataan tanpa memikirkan parti lain,” katanya.

Tambahnya lagi, kebanyakan ahli PAS tidak senang dengan keadaan terkini parti dan hubungan dalam Pakatan.

Justeru katanya, usaha memperkukuhkan Pakatan seharusnya diambil memandangkan rakyat telah memberi kepercayaan gabungan itu.

“Tidak kiralah ahli parti atau pemimpin yang berada di kepimpinan baru atau tidak lagi, kita perlu fokus kepada usaha untuk memperkukuhkan Pakatan.

“Macam mana sekalipun, Pakatan adalah isu utama,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS